Pemandu treler maut, 4 cedera kemalangan antara Sungkai, Slim River

Pemandu treler maut, 4 cedera kemalangan antara Sungkai, Slim River

am@hmetro.com.my

Ipoh: Seorang maut, manakala empat lagi cedera dalam kemalangan membabitkan beberapa kenderaan di Kilometer 366 Lebuhraya Utara-Selatan, antara Sungkai dan Slim River, lewat malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Muallim Deputi Superintendan Suhaimi Muhamad berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 10.30 malam.

“Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai pemandu treler yang sedang membawa muatan batu kapur dari Simpang Pulai, Ipoh.

“Pasukan penyelamat masih berusaha mengeluarkan mayat mangsa dari kenderaan,” katanya.

Empat lagi mangsa mengalami kecederaan dan menerima rawatan awal di lokasi kejadian.

Suhaimi menambah pihak polis masih menyiasat pasti punca kemalangan.

Sementara itu, PLUS Malaysia Berhad menerusi akaun X memaklumkan, semua lorong masih ditutup dan trafik terhenti sepanjang 12 kilometer.

Pengguna jalan raya dinasihat menggunakan laluan alternatif dan keluar di plaza tol terdekat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top