Pemandu 'ulat' menangis, bimbang kereta isteri dilucut hak

Pemandu 'ulat' menangis, bimbang kereta isteri dilucut hak

harisfadli@hmetro.com.my

Sepang: Sepang: Seorang pemandu kereta sewa haram atau ‘ulat’ menangis selepas dimaklumkan kemungkinan kereta milik isterinya boleh dilucut hak, sambil mendakwa dia tidak menawarkan perkhidmatan secara haram sebaliknya hanya memenuhi permintaan seorang penumpang untuk dihantar ke KLCC.

Lelaki berusia 47 tahun itu memberi alasan dia tidak mempelawa penumpang berkenaan, sebaliknya didatangi individu terbabit selepas selesai menghantar penumpang lain ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Bagaimanapun, dia tidak menyedari pergerakannya sudah lama diperhatikan Pasukan Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi risikan sebelum ditahan dalam Ops Ulat KLIA, hari ini.

“Bukan saya panggil dia (penumpang), tadi saya dari Puchong hantar orang ke sini (KLIA), lepas itu saya pergi tandas kemudian dia (penumpang) yang panggil saya.

“Saya tanya dia kenapa, dia kata mahu pergi KLCC jadi saya tawarkan RM75 kepada dia dan tiba-tiba JPJ tahan saya,” kata lelaki itu cuba menafikan perbuatannya menjadi ‘ulat’ ketika ditemui di Stesen Penguatkuasa JPJ KLIA, di sini, hari ini.

Difahamkan, golongan ‘ulat’ menyasarkan penumpang yang baru mendarat, khususnya warga asing dari Bangladesh dan Pakistan, sebagai mangsa untuk menggunakan perkhidmatan kereta sewa haram.

Kegiatan itu dipercayai dilakukan secara terancang apabila mereka memiliki kumpulan mesej sembang tersendiri bagi berkongsi maklumat, termasuk memaklumkan kehadiran penguat kuasa atau sekiranya berlaku tangkapan.

Ada juga gambar wajah segelintir pegawai dan anggota pasukan operasi JPJ serta nombor pendaftaran kenderaan penguat kuasa dikongsikan dalam kalangan ‘ulat’ tegar terbabit.

Tinjauan Harian Metro bersama Pasukan Operasi JPJ Selangor menerusi Ops Ulat KLIA hari ini mendapati kegiatan ‘ulat’ masih berterusan walaupun hampir setiap hari berlaku tangkapan di sekitar KLIA.

Dalam operasi sama, tiga lelaki tempatan disyaki menjalankan kegiatan ‘ulat’ ditahan ketika cuba memujuk dan merayu penumpang yang baru tiba di lapangan terbang itu untuk menggunakan perkhidmatan mereka.

Alasan seperti ‘baru pertama kali’, ‘tidak mahu pulang dari KLIA kosong’ serta mendakwa diminta sendiri oleh penumpang antara helah lazim yang sering diberikan setiap kali ditahan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Penguatkuasaan JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, pulangan harian yang lumayan menyebabkan kegiatan itu terus berleluasa walaupun berdepan tindakan undang-undang.

Katanya, pendapatan tinggi juga menjadikan golongan terbabit tidak gentar kerana mampu membayar denda sekiranya dikenakan hukuman oleh mahkamah.

“Pelancong asing sering menjadi mangsa kerana menyangka perkhidmatan ditawarkan adalah sah, lalu dikenakan caj melampau, malah ada yang dikenakan bayaran dalam bentuk USD.

“Pendapatan harian yang boleh mencecah RM500 hingga RM1,000, menyebabkan denda dianggap tidak membebankan,” katanya pada sidang media di Stesen Penguatkuasa JPJ KLIA, hari ini.

Mengulas modus operandi ‘ulat’, beliau berkata kebiasaannya pemandu bergerak secara individu, namun pihaknya tidak menolak kemungkinan kegiatan itu dijalankan secara berkumpulan.

Katanya, walaupun majoriti yang ditahan mendakwa hanya melakukan kerja itu secara sambilan, rekod tangkapan berulang menunjukkan kegiatan berkenaan dilakukan secara sepenuh masa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top