Pemansuhan AUKU: GAKUM mohon kakitangan universiti awam turut serta dalam proses pembetukan OHEA

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kakitangan universiti awam wajar diberi ruang oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk turut serta dalam proses pembentukan Akta Pendidikan Tinggi Tunggal (OHEA).

Presiden Gabungan Kesatuan Kakitangan Universiti Awam Malaysia (GAKUM) Norsyahriman Md Arif berkata, sebagai sebuah gabungan kesatuan sekerja yang mewakili kumpulan pelaksana di universiti awam dan pusat perubatan universiti, pihaknya bersedia untuk menyumbang pandangan kakitangan melalui siri libat urus yang akan dilaksanakan oleh KPT.

Menurutnya, GAKUM menghormati usaha memperluas ruang kebebasan mahasiswa dan kebebasan akademik sebagai sebahagian daripada agenda reformasi pendidikan tinggi negara.

“GAKUM mengambil maklum mengenai perkembangan berhubung pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30( (AUKU) serta perancangan KPT untuk membentuk suatu kerangka perundangan pendidikan tinggi yang lebih komprehensif menerusi pembentukan OHEA di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.

“GAKUM melihat perkembangan ini sebagai suatu agenda reformasi yang penting dalam proses pemugaran landskap pendidikan tinggi negara.

“Justeru, cadangan pembentukan OHEA perlu mengambil kira keseluruhan ekosistem pendidikan tinggi, termasuk mahasiswa, warga akademik dan tidak ketinggalan pekerja khususnya dalam kalangan kumpulan pelaksana yang turut bersama-sama menyokong dan mendukung misi, visi, fungsi serta operasi universiti,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Norsyahriman berkata, GAKUM berpandangan bahawa autonomi institusi perlu bergerak seiring dengan akauntabiliti, tadbir urus yang baik serta perlindungan terhadap hak dan kepentingan kakitangan.

Katanya, prinsip itu perlu diberikan perhatian secara seimbang dalam proses pembentukan kerangka perundangan yang baharu.

“Dalam masa yang sama, sebarang pembaharuan yang dirancang perlulah mengambil kira kesinambungan pekerjaan, syarat perkhidmatan, gaji dan faedah, kekananan perkhidmatan, pencen dan persaraan, kebajikan pekerja serta hak representasi kesatuan.

“Sekiranya terdapat cadangan perubahan yang memberi kesan kepada perkhidmatan atau kebajikan pekerja, kesatuan sekerja mewakil mereka sewajarnya diberi ruang untuk mengemukakan pandangan sebelum sesuatu keputusan dimuktamadkan.

“Pembabitan GAKUM sejak peringkat awal akan membolehkan pandangan kakitangan disampaikan secara teratur berdasarkan suasana dan pengalaman sebenar di universiti awam.

“Ia juga memberi ruang kepada GAKUM untuk memahami cadangan kerajaan dengan lebih jelas sebelum mendapatkan pandangan daripada kesatuan anggota GAKUM dan seterusnya mengemukakan maklum balas yang bersesuaian kepada KPT,” katanya.

Beliau berkata, GAKUM percaya pembentukan OHEA adalah peluang untuk membangunkan kerangka pendidikan tinggi yang lebih holistik, berdaya hadapan serta berteraskan kepada kebajikan juga kesejahteraan warga universiti.

“Sehubungan itu, GAKUM bersedia untuk menjadi rakan libat urus KPT serta akan memberikan kerjasama dan pandangan secara konstruktif dalam proses pembentukan OHEA,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top