Kuala Lumpur: Cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memansuhkan kadar faedah rata untuk mengira pembiayaan peribadi dilihat sebagai langkah penting ke arah menambah baik kesihatan kewangan isi rumah, kata seorang ahli ekonomi.
Menerusi Draf Pendedahan Pembiayaan Peribadi yang dikeluarkan pada 13 Disember 2024, BNM ingin mendapatkan input awam mengenai keperluan baharu untuk memansuhkan penawaran pembiayaan peribadi dengan caj faedah/keuntungan dikira menggunakan kadar rata dengan kaedah Peraturan 78.
Bank pusat berkata, langkah itu selaras dengan usaha bersama bank pusat, Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB), dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup melalui pindaan kepada Akta Sewa Beli 1967, yang dijadual dibentangkan di Parlimen pada separuh pertama 2025.
Menurut draf pendedahan itu, Peraturan 78 ialah kaedah yang digunakan secara meluas untuk mengira pembayaran balik pinjaman yang mengenakan caj faedah ke atas produk pembiayaan peribadi, yang memerlukan peminjam membayar kadar faedah yang lebih tinggi pada awal tempoh pinjaman.
Ketua ahli ekonomi Kumpulan AmBank, Firdaos Rosli berkata, kadar faedah rata, digabungkan dengan Peraturan 78, sering menyebabkan peminjam membayar faedah tinggi lebih awal, memberi kesan yang tidak seimbang kepada mereka yang membayar balik awal.
“Peraturan 78 yang memastikan faedah maksimum dibayar pada permulaan bermakna peminjam membayar sebahagian besar daripada jumlah faedah pada peringkat awal pinjaman.
“Ini memberi kesan yang tidak seimbang kepada mereka yang mempunyai pinjaman jangka panjang, kerana pembayaran balik awal tidak menghasilkan penjimatan yang ketara, menjadikan pembiayaan peribadi lebih mahal bagi peminjam yang mungkin ingin menjelaskan pinjaman lebih awal,” katanya kepada Bernama.
Ketua ahli ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pemansuhan Peraturan 78 boleh menggalakkan peminjam menyelesaikan pinjaman mereka lebih awal dengan mengurangkan beban kewangan pembayaran faedah.
“Jumlah prinsipal pembiayaan dibayar dalam bahagian yang lebih besar berbanding bahagian keuntungan (faedah),” katanya kepada Bernama sambil mencadangkan ini boleh menjadi insentif untuk penyelesaian pinjaman awal yang seterusnya memberi manfaat kepada kesihatan kewangan jangka panjang peminjam.
Beliau berkata bank-bank bertindak pantas kerana mereka mempunyai jawatankuasa aset dan liabiliti untuk memutuskan kecairan dan permintaan untuk pembiayaan.
“Bank-bank akan menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu itu,” ujarnya.
Draf Pendedahan Pembiayaan Peribadi BNM mendedahkan bahawa pada akhir 2023, hutang isi rumah agregat berjumlah RM1.53 trilion, dengan 12.6 peratus dikaitkan dengan pembiayaan peribadi.
Pembiayaan peribadi juga dikenal pasti sebagai salah satu penyumbang utama kepada kebankrapan, menyumbang 46.26 peratus daripada jumlah kes muflis pada 2023.
Pada akhir April 2024, 32.8 peratus daripada kemudahan pinjaman yang didaftarkan dalam Program Pengurusan Hutang Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) terdiri daripada pembiayaan peribadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd




