Pemansuhan PT3 Menyebabkan Jumlah Pelajar Dalam Aliran Sains Semakin Menurun?

Pemansuhan PT3 Menyebabkan Jumlah Pelajar Dalam Aliran Sains Semakin Menurun?

Kuala Lumpur: Tanjong Malim- Dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0 yang seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih. Tidak dapat dinafikan bahawa pendidikan ialah tonggak utama dalam menerajui kemajuan sesebuah negara khususnya dalam bidang Sains dan Teknologi. Namun, semakin hari bilangan pelajar yang mengikuti bidang ini semakin menurun terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah.

Isu ini menjadi lebih kritikal apabila kerajaan mengumumkan pemansuhan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Data analisis mendapati bilangan pelajar yang memasuki aliran sains menurun kepada 15.2 peratus atau hanya 62,250 daripada kira- kira 415,000 pelajar Tingkatan Tiga ketika menjejakkan kaki ke Tingkatan Empat bagi sesi 2023/2024. Adakah pemansuhan PT3 menjadi punca bilangan pelajar aliran Sains semakin berkurangan?

PT3 bukanlah kayu pengukur kepada pelajar yang menceburi bidang Sains kerana faktor utama yang perlu diberi perhatian ialah minat pelajar itu sendiri terhadap Aliran Sains. Persoalannya, bagaimanakah cara atau strategi baharu yang perlu dilaksanakan oleh pihak atasan bagi meningkatkan jumlah pelajar dalam aliran Sains meskipun pelbagai kaedah dilaksanakan oleh guru di dalam bilik darjah. Menjadi tanda tanya, adakah masalah penurunan angka disebabkan oleh persepsi pelajar ataupun masalah kurikulum sains yang dianggap semakin berat.

Pemansuhan PT3 dikatakan menjadi punca utama kemerosotan pelajar aliran Sains kerana apabila pemansuhan PT3 dilaksanakan menyebabkan pelajar mengambil mudah mengenai pembelajaran mereka. Pelajar tidak serius dalam menjalankan tugas yang diberikan oleh guru dan lebih cenderung untuk bersikap santai tentang sesi pengajaran dan pembelajaran kerana tidak perlu menghadapi peperiksaan besar.

Seterusnya, kelayakan pelajar memasuki aliran Sains sebelum ini adalah berdasarkan keputusan pelajar ketika menduduki peperiksaan. Apabila berlaku juga pemansuhan PT3, ia dianggap sebagai satu cabaran kepada guru untuk menilai keupayaan pelajar dalam menguasai mata pelajaran Sains. Keupayaan sebenar pelajar sukar diukur oleh guru kerana guru tidak dapat melihat potensi dan tahap penguasaan pelajar dan mendapati pelajar sebenarnya tidak menguasai pengetahuan asas mata pelajaran Sains. Pelajar mengikuti aliran Sains hanya untuk memenuhi kehendak ibu bapa bukan kerana minat yang mendalam terhadap subjek ini.

Pandangan dan persepsi pelajar sendiri terhadap subjek Sains menjadi salah satu sebab mengapa subjek ini bukan menjadi subjek kegemaran. Pelajar menganggap subjek Sains ini salah satu subjek yang susah di sekolah kerana melibatkan teori-teori yang perlu dikuasai. Sehingga sekarang persepsi ini sukar untuk diubah meskipun pelbagai kaedah pedagogi abad 21 digunakan oleh guru berjaya untuk menyuntik minat dan motivasi pelajar terhadap subjek ini namun angka pelajar untuk mengambil aliran Sains ini masih menurun.

Namun begitu, PT3 hanyalah penilaian kognitif yang digunakan untuk mengukur penguasaan pelajar dalam menilai tahap akademik dan tidak menyeluruh. Ini kerana, PT3 tidak menitikberatkan kemahiran psikomotor, afektif dan estetik yang perlu dikuasai oleh pelajar aliran Sains. Potensi seseorang pelajar tidak dinilai berdasarkan peperiksaan semata-mata. Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) menjadi salah satu penilaian yang baik bagi mengukur dan memenuhi semua kriteria bagi melahirkan pelajar yang seimbang bukan sahaja dari aspek intelektual malahan merangkumi aspek rohani, emosi dan jasmani yang selaras dengan Falsafah Pendidikan Malaysia untuk melahirkan pelajar yang seimbang daripada semua aspek termasuk penerapan nilai-nilai murni.

Oleh :
Nor Azma Husna Binti Mohamad Azhar
Dr. Mohd Mokhzani Binti Ibrahim
E-mel : azmaazhar95@gmail.com

Scroll to Top