Pemasangan ‘feeder pillar’ baharu di Jalan Sungai Buloh Jun ini – Alexander

Pemasangan ‘feeder pillar’ baharu di Jalan Sungai Buloh Jun ini – Alexander

SUNGAI BULOH – Kerja pemasangan ‘feeder pillar’ baharu iaitu alat yang membekalkan elektrik pada lampu di sepanjang 4 kilometer (km) Jalan Sungai Buloh menuju Kepong akan bermula Jun ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemasangan alat berkenaan melibatkan kos sebanyak RM500,000 dan dijangka siap dalam masa  16 minggu.

Jelas beliau, ‘feeder pillar yang baharu akan ditempatkan di kawasan yang lebih terdedah dan mudah kelihatan oleh orang awam bagi mengelakkan perbuatan vandalisme berulang kembali.

“Kita akan kebalkan peti besi feeder ini nanti walaupun dikunci bagi mengelakkan berlaku lagi kecurian,” katanya ketika membuat tinjauan di lokasi berkenaan.

Terdahulu, Kementerian Kerja Raya menerima aduan bahawa lampu di sepanjang jalan berkenaan tidak menyala sejak setahun lalu akibat ‘feeder pillar’ di situ dicuri.

Jelas Alexander, kes kecurian alat yang membekalkan elektrik kepada 200 lampu jalan termasuk lampu isyarat di jalan tersebut sering berlaku.

Alexander Nanta Linggi

Tambahnya, kecurian yang berlaku setahun lalu adalah kali yang keempat.

Dalam masa yang sama beliau berkata, pihak polis juga akan membuat pemantauan di kawasan tersebut dengan lebih kerap selepas ini.

Alexander juga tidak menolak mempertimbangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan tersebut sekiranya diperlukan kelak. – MalaysiaGazette