Pembabitan julung kali foodpanda dalam Karnival Jom Heboh terima sambutan hangat

Pembabitan julung kali foodpanda dalam Karnival Jom Heboh terima sambutan hangat

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Pembabitan buat julung kalinya syarikat perkhidmatan penghantaran makanan, foodpanda Malaysia dalam Karnival Jom Heboh (KJH) Johor Bahru 2026 di Angsana Johor Bahru Mall, di sini, mendapat sambutan luar biasa daripada pengunjung.

Pengurus Kanan Operasi Rakan Penghantar foodpanda Malaysia, Amrishan Singh berkata, sambutan yang diterima daripada pengunjung setakat ini selepas hari pertama semalam amat memberangsangkan dan dijangka terus bertambah meriah sehingga esok.

“Kami menjangkakan kehadiran lebih ramai pengunjung bermula petang ini memandangkan orang ramai sudah mula bercuti sempena hujung minggu bersama keluarga.

“Peluang menyertai KJH ini amat bermakna buat kami kerana tidak pernah menyertai mana-mana karnival. Jadi ini pengalaman pertama yang amat dekat di hati rakyat kerana kami juga wujud kerana rakyat,” katanya.

KJH Johor Bahru 2026 membawakan pelbagai aktiviti menarik termasuk jualan reruai, persembahan artis tempatan, aktiviti kekeluargaan serta tawaran pelbagai barangan kegunaan harian.

Program ini yang diiktiraf sebagai ‘Longest Running Outdoor Carnival’ oleh The Malaysia Book of Records (MBOR) berlangsung selama tiga hari dan dijadual berakhir esok.

Mengulas lanjut, Amrishan berkata, penyertaan julung kali itu menjadi platform strategik untuk mendekati masyarakat secara terus melalui penawaran vendor makanan selain cenderamata eksklusif.

Katanya, bagi program yang diadakan di Padang B itu, pengunjung yang hadir berpeluang memenangi tiga cenderamata khas iaitu stoking Ayam Gepuk, cawan perkhemahan dan tikar berkelah.

“Pengunjung hanya perlu mendapatkan kad khas dan membuat pembelian di mana-mana vendor foodpanda di tapak karnival sebelum layak menebus barangan cenderamata berkenaan.

“Selain pengunjung, kami turut meraikan rakan penghantar dengan pelbagai aktiviti menarik serta pemberian barangan khas seperti jaket dan barangan lain,” katanya.

Amrishan turut menzahirkan penghargaan kepada penganjur KJH atas jemputan berkenaan dan bersedia untuk terus memberikan sokongan pada penganjuran karnival akan datang.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top