mahani@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Hanya 25.4 peratus daripada 100 syarikat teratas yang tersenarai di Bursa Malaysia berjaya menyambut komitmen pengisian sekurang-kurangnya 30 peratus Ahli Lembaga Pengarah wanita sehingga Oktober lalu.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pencapaian itu memperlihatkan pembabitan wanita sebagai pembuat keputusan dalam pelbagai bidang yang masih kurang diberi perhatian sepenuhnya.
“Misalnya, saya difahamkan ada syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan Kerajaan (GLIC) yang belum mempunyai wanita sebagai Ahli Lembaga Pengarah.
“Selain itu, sehingga Oktober lalu, hanya 25.4 peratus daripada 100 syarikat teratas yang tersenarai di Bursa Malaysia yang berjaya menyambut komitmen pengisian sekurang-kurangnya 30 peratus ahli lembaga pengarah wanita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Wanita Peringkat Kebangsaan yang berlangsung secara maya di laman Facebook Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), hari ini.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Timbalannya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.
Muhyiddin berkata, sambutan Hari Wanita pada tahun ini yang bertemakan ‘Wanita Bangkit Mendepani Cabaran’ adalah bertepatan dengan situasi negara yang masih berdepan dengan cabaran wabak COVID-19 sejak lebih setahun lalu.
“Kita melihat kejayaan, pencapaian dan sumbangan wanita dalam pelbagai bidang. Saya ingin tegaskan Kerajaan Perikatan Nasional sentiasa berpegang kepada prinsip pemerkasaan wanita kerana wanita adalah antara tonggak pembangunan negara paling penting, bukan sahaja bagi aspek sosial, politik dan ekonomi, malah merangkumi segala aspek pembangunan negara.
“Ini kerana dapatan kajian menjangkakan bahawa pertambahan penyertaan 30 peratus wanita dalam pasaran buruh Malaysia mampu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara di antara 7 hingga 12 peratus setahun,” katanya.
Beliau berkata, walaupun lakaran kejayaan demi kejayaan terus dicapai, kerajaan tidak harus berpuas hati.
“Tugas untuk memperkasa wanita perlu diperkemaskan kerana wanita masih terbelenggu dengan stigma dan stereotaip yang mengehadkan peranan mereka dalam bidang tertentu yang sering dikaitkan dengan peranan tradisi wanita, khususnya dalam penjagaan dan pengasuhan.
“Selain itu, wanita cenderung menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan gangguan seksual di tempat kerja serta gejala sosial seperti penderaan anak, ‘sugar daddy’ dan sumbang mahram, berikutan mangsanya golongan hawa,” katanya.
Katanya, beban berganda atau double burden yang dihadapi ramai wanita yang berkerjaya di mana mereka perlu mengimbangi antara tuntutan kerja dengan pengurusan rumah tangga pada satu-satu masa.
“Ini kerana berdasarkan dapatan kajian, didapati wanita meluangkan masa lebih 63.6 peratus berbanding lelaki dalam tugasan penjagaan yang tidak berbayar atau unpaid care work.
“Selain itu, masih kurangnya pembabitan semua pihak dalam menyediakan persekitaran yang menyokong dan menggalakkan pemerkasaan wanita. Ini secara tidak langsung, ‘silent motherhood penalty’ dilihat seolah-olah menjadi suatu perihal diterima semua pihak,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




