Pembaharuan gaji ringankan tekanan inflasi, kos sara hidup – BNM

Pembaharuan gaji ringankan tekanan inflasi, kos sara hidup – BNM

BANK Negara Malaysia (BNM) berkata bahawa mengawal inflasi sahaja tidak mencukupi untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup, sebaliknya memerlukan penekanan mendesak terhadap pembaharuan struktur bagi menangani pertumbuhan gaji yang tidak berkembang dan memastikan pendapatan seiring dengan kenaikan harga.

Timbalan Gabenor, Datuk Marzunisham Omar berkata bahawa walaupun inflasi keseluruhan telah menurun dengan ketara hasil pengetatan dasar monetari yang dilaksanakan tepat pada masanya, paras harga masih kekal tinggi, sekali gus mengurangkan kuasa beli isi rumah di tengah-tengah pertumbuhan gaji yang sederhana.

“Dari suku pertama 2020 (S1 2020) hingga suku pertama 2025 (S1 2025), Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat secara kumulatif sebanyak 9.8 peratus, manakala harga makanan dan minuman meningkat lebih tinggi iaitu 17.5 peratus.

“Sebaliknya, gaji nominal sektor swasta bagi setiap pekerja hanya meningkat sebanyak 7.9 peratus dalam tempoh yang sama… Jadi, dalam istilah sebenar, gaji bagi setiap pekerja menurun sebanyak 1.9 peratus. Justeru, itulah sebabnya kita merasai tekanan daripada kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Marzunisham berkata demikian semasa sesi panel mengenai topik ‘Membendung Inflasi, Mengurangkan Kos: Perspektif Dasar’ di Simposium Sasana 2025 yang dianjurkan oleh BNM pada Selasa.

Beliau menegaskan bahawa walaupun sering dinyatakan bahawa gaji seharusnya mencerminkan produktiviti, data dari suku pertama 2022 hingga suku kedua 2025 menunjukkan produktiviti setiap pekerja meningkat sebanyak 7.4 peratus, namun gaji sebenar menurun dalam tempoh yang sama.

“Ini jelas menggambarkan, terutamanya di peringkat mikro, ketidakselarasan struktur antara peningkatan produktiviti dan pertumbuhan gaji,” kata beliau.

Sementara itu, beliau berkata bahawa Malaysia perlu memberi tumpuan kepada pewujudan lebih banyak pekerjaan berpendapatan tinggi dan berkemahiran tinggi. Di sinilah pelaburan memainkan peranan utama dan menarik jenis pelaburan yang sesuai adalah penting untuk mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi yang membawa kepada pendapatan tinggi.

Beliau menekankan bahawa Malaysia mencatatkan jumlah kelulusan pelaburan yang sangat memberangsangkan pada 2023 dan 2024, dan peratusan pekerjaan berkemahiran tinggi dalam ekonomi meningkat kepada kira-kira 30 peratus, naik daripada 25 peratus beberapa tahun lalu.

Marzunisham berkata perhatian juga mesti diberikan kepada aspek penawaran, di mana campur tangan dasar adalah perlu, sambil menyatakan kebimbangan berterusan daripada pihak majikan mengenai kualiti graduan yang memasuki pasaran buruh.

“Antara tahun 2022 dan 2023, kira-kira 260,000 graduan baharu memasuki pasaran pekerjaan. Bagaimanapun, hanya kira-kira 150,000 pekerjaan berkemahiran tinggi diwujudkan setiap tahun dalam tempoh itu, mengakibatkan jurang hampir 100,000.

“Itulah sebabnya kita melihat kadar pengangguran dalam kalangan graduan kekal tinggi — kira-kira 36 peratus graduan kita bekerja dalam pekerjaan berkemahiran sederhana atau rendah, semata-mata kerana mereka tidak dapat memperoleh pekerjaan berkemahiran tinggi,” katanya.

Selain itu, beliau turut berkata bahawa pihak majikan mengadu mereka tidak dapat mencari pekerja mahir yang sesuai, yang menekankan keperluan untuk menambah baik latihan dan menangani ketidakpadanan kemahiran dalam kalangan graduan baharu.

Marzunisham turut menekankan bahawa beberapa negara telah memperkenalkan kadar gaji minimum yang berbeza, di mana gaji minimum ditetapkan mengikut tahap kemahiran, sambil menambah bahawa satu lagi bidang tumpuan penting ialah ekosistem menyeluruh yang menentukan cara gaji ditetapkan.

“Kerjasama dan libat urus antara majikan, pekerja, kesatuan sekerja dan kerajaan, sebagai contoh, adalah penting supaya semua pihak ini, semua peserta ini, terlibat secara langsung dalam menentukan bagaimana gaji harus dinaikkan di negara ini dan tidak hanya diserahkan kepada kuasa pasaran semata-mata,” katanya. – Bernama

Scroll to Top