Pembakaran tebuka dilarang di tiga negeri

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Kuala Lumpur: Selangor, Pahang dan Johor diisytiharkan kawasan Larangan Pembakaran Terbuka berkuat kuasa serta merta sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.

Pengisytiharan itu dibuat selaras peruntukan mengikut Seksyen 29AA(2) Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2001.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar, berkata berikutan pengisytiharan itu, semua pihak dilarang melakukan pembakaran terbuka atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

Beliau berkata, mereka yang disabitkan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda maksimum RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, kompaun maksimum sebanyak RM2,000 juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan.

“Orang ramai diminta bekerjasama memadam kebakaran kecil dan melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran,” katanya.

Laporan boleh dibuat kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di talian 999 dan Jabatan Alam Sekitar di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui eAduan di laman sesawang https://eaduan.doe.gov.my.

Sumber: Berita Harian