am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Satu perbincangan khas bersama setiap ketua parti blok pembangkang diadakan petang tadi berhubung cadangan penubuhan sebuah barisan rentas parti.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam hantaran di Facebook.
Katanya, penubuhan barisan rentas parti ini bertujuan untuk memperkukuhkan peranan semak dan imbang parti pembangkang di dalam dan luar Parlimen.
“Saya mengadakan perbincangan bersama ketua-ketua parti blok bukan kerajaan petang ini untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai cadangan penubuhan sebuah barisan rentas parti.
“Penubuhan ini bagi mengambil pendirian bersama dalam hal-hal yang menyentuh kepentingan rakyat dan negara,” katanya menurut hantaran itu.
Katanya, antara pemimpin yang hadir ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), Punithan Paramsiven; Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA); Datuk Dr Ibrahim Ali, dan Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan Subraniam.
Hadir sama, Pemangku Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya; Ketua Belia Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Sathiah Sudakaran; Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Zamani Ibrahim; Presiden Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), Prof Dr P Ramasamy, dan Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP), P Waytha Moorthy.
Muhyiddin berkata, semua yang hadir memberikan maklum balas amat positif terhadap cadangan berkenaan.
“Insya-Allah, saya akan membawa pandangan yang diutarakan dalam pertemuan ini dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan datang,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd