Pembangkang lebih pentingkan politik berbanding kesihatan – Wan Saiful – Utusan Digital

Pembangkang lebih pentingkan politik berbanding kesihatan – Wan Saiful – Utusan Digital

KUALA LUMPUR: Tindakan pembangkang yang sanggup berkumpul beramai-ramai bermula di luar Parlimen sehingga ke Dataran Merdeka membuktikan mereka lebih mementingkan agenda politik berbanding aspek kesihatan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, jika usaha menangani pandemik Covid-19 sebagai perkara lebih mustahak, pembangkang tidak akan sanggup merisikokan diri dengan berkumpul di ibu kota semata-mata untuk menunjukkan bantahan.

“Ini satu tindakan yang tidak bertanggungjawab. Ini bagi saya, pembangkang sudah hilang kredibilitinya. Asyik cakap soal patuh SOP (prosedur operasi standard). Ini jelas mereka tidak menghormati SOP dan tidak hormat langsung dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah. Semua isu nak dipolitikkan.

“Kalau tengok apa yang dikatakan pembangkang pagi tadi, mereka letakkan agenda politik berbanding kesihatan rakyat,” katanya ringkas ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas situasi ahli-ahli Parlimen pembangkang yang berkumpul di Dataran Mereka pagi tadi setelah tidak dibenarkan memasuki Bangunan Parlimen hari ini.

Dalam sidang akhbar, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Kerajaan PN telah tumbang ekoran beberapa ahli Parlimen PN dipercayai menyatakan untuk keluar dan menarik sokongan kepada kerajaan sedia ada.

Selain itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa, PN secara automatik terbubar apabila mengumumkan pembatalan Ordinan Darurat tidak mengikut Perlembagaan.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat pada hari ini ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan ditetapkan.

Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin dalam satu kenyataan berkata, pemakluman itu dibuat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11 (3), Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Penangguhan itu dibuat pada hari terakhir Dewan Rakyat bersidang secara khas selain PN berdepan tekanan untuk membentang dan membahaskan status pembatalan Ordinan Darurat.

Scroll to Top