Pembangkang pilih perlekeh, bukan bangga kejayaan diplomatik negara – Kamil

Pembangkang pilih perlekeh, bukan bangga kejayaan diplomatik negara – Kamil

Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menyelar sikap segelintir pembangkang yang didakwa lebih cenderung memperlekeh kejayaan diplomatik negara daripada meraikannya bersama rakyat Malaysia.

Beliau berkata, ketika masyarakat antarabangsa mengiktiraf peranan Malaysia dalam usaha pendamaian serantau, pihak pembangkang pula bertindak sinis dan tidak patriotik terhadap pencapaian negara, khususnya melibatkan inisiatif gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja.

“Ironinya, yang memperlekeh bukan orang luar. Tetapi pembangkang di tanah air sendiri yang nampaknya lebih rela melihat kegagalan daripada mengiktiraf kejayaan yang membanggakan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pembangkang pilih perlekeh

Menurutnya, pengiktirafan terhadap peranan Malaysia bukan datang daripada satu pihak sahaja, malah turut disambut baik oleh Presiden Amerika Syarikat, Presiden China dan komuniti ASEAN.

“Ini soal maruah negara. Ini soal peranan Malaysia sebagai pemimpin yang disegani di rantau ini. Dunia menyambut baik usaha ini… tetapi pembangkang kita pula memilih untuk menjadi sinis dan pesimis,” katanya.

Kredit Foto: Izzuddin Abd Radzak | Pejabat Perdana Menteri

Kamil turut membandingkan kejayaan kerajaan MADANI dengan pentadbiran terdahulu yang menurutnya tidak pernah mencapai pencapaian diplomatik berskala besar.

“Mereka lupa semasa mereka berkuasa, tiada satu pun kejayaan diplomatik seumpama dan sebesar ini berjaya digerakkan untuk dicapai,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa usaha diplomasi hari ini lahir daripada prinsip kemanusiaan dan nilai perdamaian, bukan retorik semata-mata.

Tegasnya, sikap pembangkang yang memperlekeh usaha ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia hanya mencemarkan nama baik negara di peringkat antarabangsa.

“Kita tidak boleh benarkan suara-suara sumbang ini terus menjadi liabiliti kepada nama baik negara.
“Tindakan mereka jelas tidak patriotik dan memalukan negara,”ujar beliau.

Artikel lain: Politik perlu matang! Jangan doakan kehancuran sesama Islam – Akmal Saleh

Beliau turut mendesak Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari agar membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Thailand dan Kemboja atas kenyataan yang dianggap tidak menghormati negara jiran.

“Malaysia sama sekali tidak akan mempertahankan tindakan gopoh dan bebal mereka yang tidak ada secebis rasa hormat pada negara lain, apatah lagi negara jiran,”menurutnya.

Dalam pada itu, Kamil menegaskan komitmen Malaysia untuk terus mengangkat diplomasi sebagai asas hubungan antarabangsa demi kesejahteraan serantau.

Sumber: X Kamil Munim

Scroll to Top