Pembangkang Sabah bidas SPR tangguh Undi18 bermotif politik

source_img
Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp
Ketua Pemuda DAP Sabah, Phoon Jin Zhe berkata, SPR mengkhianati konsensus yang dicapai Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

KOTA KINABALU: Bekas menteri belia dan sukan Sabah, Phoong Jin Zhe membidas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas kelewatan pelaksanaan pendaftaran automatik individu berusia 18 tahun sebagai pengundi.

Ini kerana, katanya, SPR mempunyai lebih setahun bersiap sedia untuk pelaksanaannya, selepas Dewan Negara meluluskan rang undang-undang itu pada 25 Julai 2019.

“SPR menggunakan alasan perintah kawalan pergerakan (PKP) (untuk penangguhan itu) tidak masuk akal dan tidak boleh diterima. Ini memalukan Malaysia,” kata ketua Pemuda DAP Sabah itu.

“SPR dan Perikatan Nasional (PN) perlu menjelaskan penangguhan itu. Menyalahkannya kepada PKP jelas tidak boleh diterima.

Phoong Jin Zhe.

“RUU Undi18 ialah konsensus kebangsaan kerana Parlimen sebulat suara meluluskan RUU itu pada Julai 2019 dengan 211 Ahli Parlimen menyokongnya, tanpa bantahan daripada mana-mana Ahli Parlimen.

“Ini tindakan jelas tidak menghormati hak belia kita dan ini juga jelas mengkhianati konsensus yang dicapai kedua-dua dewan di Parlimen.”

Oleh itu, Phoong menggesa semua anak muda “berdiri dan membantah” keputusan itu di media sosial atau secara terbuka.

“Ayuh bangkit dan beritahu kerajaan betapa kecewanya kita. Disebabkan RUU itu diluluskan melalui usaha kedua-dua pihak, saya menggesa semua Ahli Parlimen, khasnya mereka yang menjadi sebahagian daripada kerajaan pimpinan PN untuk menyuarakan pendirian mereka dalam isu itu.

“Tambahan, menteri dan timbalan menteri perlu meletak jawatan jika mereka tidak boleh melaksanakan RUU itu seperti dijanjikan kerana ini menunjukkan betapa hipokritnya mereka mengundi untuknya, tetapi sengaja menangguhkan pelaksanaannya.”

Pengerusi SPR, Abdul Ghani Salleh dalam kenyataannya berkata, pendaftaran automatik individu berusia 18 tahun sebagai pengundi dijangka ditunda sehingga selepas September 2022.

Katanya, sekatan pergerakan akibat pandemik mengganggu persiapan SPR untuk melaksanakan dasar itu.