Pembangkang tak faham nilai RM100 – Ramanan

Pembangkang tak faham nilai RM100 – Ramanan

BUKIT MERTAJAM : Tindakan pembangkang memperkecilkan pemberian bantuan sebanyak RM100 menerusi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) umpama memperlekehkan golongan miskin di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, dalam hal ini, kebanyakan pembangkang yang bersuara terdiri daripada golongan berada yang menganggap nilai bantuan itu sebagai kecil dan tidak bermanfaat untuk rakyat.

“Pembangkang semua kaya. Jadi, dia tak faham RM100 itu besar ke tak. Sedangkan, jumlah itu besar bagi mereka yang memerlukan.

“Jadi, kita kena faham. Kalau inisiatif itu bagus, kita kena cakap bagus. Begitu juga sebaliknya. Tetapi, janganlah memperlekehkan golongan miskin.

“Apabila pembangkang buat begitu, mereka bukan memperlekehkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi, memperlekehkan golongan kurang berkemampuan. Maka, tolonglah ada perasaan belas (terhadap golongan miskin),” katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa menghadiri Majlis Taklimat dan Penyerahan Pembiayaan PENN 2.0 selain turut berkongsi kejayaan program Pembiayaan Perniagaan PENN 2.0 di Seberang Jaya di sini, malam ini.

Mengulas mengenai program itu pula, Ramanan berkata, ia telah memberi manfaat kepada 7,074 wanita India di seluruh negara dengan jumlah pembiayaan mencecah RM48.3 juta setakat ini.

“Di Pulau Pinang sahaja, seramai 214 usahawan wanita India telah menerima pembiayaan PENN ini yang melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM1.23 juta.

“Daripada jumlah keseluruhan itu pula, lebih 1,000 adalah usahawan baharu yang berjaya memulakan perniagaan pertama mereka,” ujar beliau.

Program PENN atau merujuk kepada ‘Prosperity, Empowerment and A New Normal for Indian Women’ merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Madani untuk memberdayakan ekonomi wanita India menerusi sokongan kewangan dan keusahawanan.-UTUSAN

Scroll to Top