Pembangunan Data Bank Kebangsaan antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Pembangunan Data Bank Kebangsaan antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Kuala Lumpur: Pembangunan Bank Data Kebangsaan dan tempoh masa pelaksanaannya antara tumpuan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Datuk Dr Ku Abd Rahman (PN-Kubang Pasu) meminta Menteri Digital menjelaskan tempoh masa yang diperlukan untuk membangunkan sistem berkenaan dan jangkaan ia beroperasi sepenuhnya.

Beliau turut ingin mengetahui berkenaan protokol yang dilaksanakan bagi memastikan kualiti data, keselamatan, privasi dan ‘interoperability’ (saling kendali) sistem itu pada sesi soal jawab lisan.

Pada sesi sama, Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam) bertanyakan kepada Menteri Komunikasi berkenaan langkah yang akan diambil bagi mempertahankan imej kerajaan yang dikatakan tidak dapat mengawal media yang didakwa memburukkan pemimpin dan pentadbiran.

Turut menarik perhatian, soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) kepada Menteri Kewangan berhubung penjualan diesel.

Beliau ingin tahu sama ada berlaku pengurangan jualan diesel di Semenanjung Malaysia serta jumlah penjimatan yang sudah dicapai kerajaan susulan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel sejak Jun 2024.

Selepas sesi soal jawab, mesyuarat Dewan Rakyat diteruskan dengan menyambung semula perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari hingga 4 Dis ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top