GEORGETOWN: MCA Pulau Pinang mendakwa projek pembangunan semula kawasan tapak pembuangan sampah di Jelutong di sini yang dinamakan sebagai ‘Babylon City by the Sea’ bernilai RM2.2 bilion merupakan satu projek ‘gajah putih’ oleh kerajaan negeri.
Sehubungan itu, MCA Pulau Pinang menuntut kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung status terkini projek pembangunan semula kawasan itu yang merangkumi projek kondominum serta kawasan taman awam yang didakwa tertangguh sejak 2016.
Projek pembangunan di kawasan seluas 3.2 hektar di situ merupakan kerjasama antara kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan sebuah syarikat pemaju swasta.
Naib Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA Pulau Pinang, Francis Goh berkata, pihaknya mendapati projek tersebut sangat mustahil untuk menjadi kenyataan memandangkan terdapat isu teknikal dan alam sekitar.
STATUS
”Kami mendapat aduan daripada penduduk setempat yang menuntut penjelasan daripada kerajaan negeri mengenai status terkini projek pembangunan bernilai RM2.2 bilion di tapak pelupusan sampah ini.
”Difahamkan tender terbuka secara request-for-proposal (RFP) untuk projek ini telah dilaksanakan pada 2015, namun diserahkan semula pada 2016.
“Sehingga kini nampaknya tiada perkembangan mengenai projek ini, adakah ia satu lagi projek gajah putih oleh kerajaan negeri yang hanya di atas kertas semata-mata,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat MCA Pulau Pinang, di sini hari ini.
Pada Februari 2020, dilaporkan Pulau Pinang sedang memulakan misi untuk memulihkan dan membangunkan semula tapak pelupusan sampah yang telah beroperasi selama lebih 40 tahun itu dan usaha pemulihan serta pembangunan semula tapak pelupusan itu akan dilaksanakan oleh PLB Engineering Bhd. (PLBEB).
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, selepas siap, syarikat itu akan menyerahkan 25 peratus tanah kepada kerajaan Pulau Pinang yang kemudiannya akan memutuskan penggunaan tanah di situ.
Menurut Francis, menerusi tinjauan bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar, pihaknya berpendapat kawasan tapak pelupusan sampah itu tidak sesuai dibangunkan lagi kerana dikhuatiri membahayakan penduduk dan alam sekitar.
”Terdapat hampir 10,000 penduduk di kawasan berhampiran tapak berkenaan dengan lebih 3,000 penduduk berada dalam radius kurang 200 meter dari tapak tersebut.
”Sekiranya berlaku pelepasan gas daripada sampah-sarap di situ semasa kerja-kerja pembangunan dijalankan sudah pasti penduduk setempat akan menerima akibat buruk,” katanya.
Dalam pada itu, Setiausaha Persatuan Penduduk Mutiara Idaman 2, Mazlan Pakwanteh berkata, penduduk setempat juga tertunggu-tunggu perkembangan terkini projek berkenaan yang telah lama tertangguh.
”Apa yang kami dengar projek ini sepatutnya bermula pada 2016, namun sehingga kini nampaknya tiada apa-apa kerja pembangunan dijalankan di tapak berkenaan, jadi kami mahu tahu status terkini projek ini,” katanya. – UTUSAN