am@hmetro.com.my
Kota Bharu: Seorang pembantu kedai runcit mengaku bersalah atas dua pertuduhan melakukan rompakan bersenjata di Pasir Puteh bulan lalu dan awal bulan ini.
Tertuduh, Zulhairie Zulkifli, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 19 Januari untuk fakta kes dan hukuman.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merompak beg duit yang mengandungi wang tunai milik seorang wanita berusia 18 tahun.
Perbuatan itu dilakukan di dalam sebuah kedai runcit di Sungai Petai, Pasir Puteh 3.29 petang pada 2 Disember lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh merompak seorang wanita berusia 26 tahun menggunakan sebilah pisau sehingga mendatangkan kerugian RM400.
Perbuatan itu dilakukan di kaunter pembayaran kedai runcit di Pasir Puteh, 6.45 petang, 6 November lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan juga denda atau sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Hasyime Rosli dan tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Kamarul Hasyime tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 19 Januari untuk fakta kes dan hukuman.
© New Straits Times Press (M) Bhd




