Pembantu klinik derita jantung berlubang

Pembantu klinik derita jantung berlubang

am@hmetro.com.my

Temerloh: Seorang pembantu klinik menguatkan semangat menjalani rawatan jantung berlubang walaupun dihantui ketakutan terhadap risiko prosedur yang perlu dilaluinya pada bila-bila masa.

Siti Nabilah Suhaimi, 36, yang disahkan menghidap Atrial Septal Defect (ASD), berkata perasaan cemas sentiasa menghantui dirinya setiap kali memikirkan prosedur berkenaan yang dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA),

Menurutnya, penyakit itu dikesan selepas dia menjalani pembedahan bersalin pada Mac 2022 ketika positif Covid-19.

“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat lubang kira-kira dua sentimeter pada jantung.

“Sejak itu saya sering pening, cepat letih, sesak nafas dan pernah pitam secara tiba-tiba sehingga menjejaskan rutin harian,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini.

Siti Nabilah berkata, doktor memaklumkan dia perlu menjalani prosedur ASD Occlusion bagi menutup lubang berkenaan.

“Walaupun bukan pembedahan terbuka, saya tetap takut kerana satu tiub halus perlu dimasukkan melalui salur darah di pangkal paha hingga ke jantung,” katanya.

.Ibu kepada empat anak itu berkata, keadaan kesihatannya kini tidak menentu selain menjejaskan keupayaannya bekerja sebagai pembantu klinik, manakala suaminya pula bekerja sendiri.

“Namun semangat untuk sembuh dan kembali sihat membuatkan saya terus kuat menghadapi rawatan ini,” katanya.

Orang ramai yang ingin membantu Siti Nabilah boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank 1560 2052 7606 (Siti Nabilah Suhaimi).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top