Pembantu tadbir didakwa beri kerja kepada syarikat miliknya

Pembantu tadbir didakwa beri kerja kepada syarikat miliknya

hifzuddin@bh.com.my

Alor Setar: Penjawat awam didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan rasuah membabitkan kerja penyelenggaraan dan perbekalan Kolej Vokasional Sungai Petani 2 (KVSP2) berjumlah RM24,116 pada 2020.

Tertuduh Mohd Saim Kasan, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir Gred N22 di KVSP2 menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan melalui pesanan bagi kerja menyelenggara perabot, bingkai tingkap, pintu dan memasang gril besi bengkel bakeri sekolah berkenaan.

Dia didakwa memberikan kerja bernilai RM14,176.50 kepada syarikat miliknya iaitu Narinas Enterprise antara 13 September hingga 1 November 2020.

Tertuduh turut didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan melalui pesanan bagi membekalkan peralatan kelengkapan pejabat, pembelian mesin perincih kertas dan membekalkan sarung meja bengkel bakeri sekolah berkenaan.

Dia didakwa memberikan kerja bernilai RM9,939.50 itu kepada syarikat miliknya iaitu Wes Mangan Maju Trading antara 17 Februari hingga 22 Oktober 2020.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Kedah, Mohd Zulfadli Azharudin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Zulfadli memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM20,000 ke atas tertuduh, namun Mohd Saim meminta dikurangkan kerana masih menanggung persekolahan tiga anak dan menyara ibunya yang uzur.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 13 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Tertuduh membayar ikat jamin berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top