Pembatalan ART: "Belum ada hitam putih diterima daripada AS" – Johari Ghani

Pembatalan ART: "Belum ada hitam putih diterima daripada AS" – Johari Ghani

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan belum menerima sebarang hitam putih daripada Amerika Syarikat (AS) berhubung sebarang keputusan pembatalan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) secara rasmi, selepas Mahkamah Agung AS membatalkan sebahagian besar tarif global dikenakan Presiden Donald Trump.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menjelaskan dalam tempoh lima bulan, pihak AS akan membuat semakan bagi menentukan kadar tarif baharu.

“Tak ada, tak ada (pemakluman rasmi daripada kerajaan AS mengenai pembatalan ART secara rasmi). Dia (AS) cakap mahkamah (agung AS) mengatakan keputusan itu null and void (batal dan tidak sah).

“(Tempoh) lima bulan pertama kita bincang tetapi sekarang tengah investigate (siasat) setiap negara… Ada 60 negara (terlibat).

“Nanti bila dia (AS) sudah dapat dapatan itu, dia akan bagi proposal (cadangan) kepada kita Malaysia sekian sekian. Jadi kita ambil dan bincang apa syaratnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kampung Angkat MADANI bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Masjid Al-Akram, Kampung Datuk Keramat di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha MITI, Datuk Hairil Yahri Yaacob.

Mengulas gesaan Ahli Parlimen pembangkang untuk memberi penjelasan menyeluruh mengenai status sebenar ART, Johari mahu mereka merujuk semula keputusan dibuat oleh Mahkamah Agung AS.

“Nak jelaskan dekat mana… suruh dia baca keputusan Mahkamah AS. AS pun tak ada tulis surat kepada kita (mengenai pembatalan rasmi ART),” katanya.

Dalam kenyataan hari ini, Perikatan Nasional (PN) menggesa diadakan Sidang Khas Parlimen bagi membolehkan Ahli Parlimen diberi taklimat dan membahaskan implikasi pembatalan ART antara Malaysia dan AS.

Susulan keputusan Mahkamah Agung AS, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata perkembangan itu menimbulkan persoalan serius mengenai kedudukan sebenar rundingan serta komitmen dibuat kerajaan di bawah perjanjian sebelum ini.

Pada masa sama, lapan Ahli Parlimen PKR turut menggesa kerajaan menjelaskan secara terperinci dan mengesahkan secara rasmi pembatalan ART antara Malaysia dan AS melalui saluran diplomatik antara kedua-dua negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top