Pembayar zakat PPZ-MAIWP santuni asnaf

Pembayar zakat PPZ-MAIWP santuni asnaf

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: McDonald’s dan Astro sebagai pembayar zakat kepada Pusat Pungutan Zakat MAIWP (PPZ-MAIWP), menyantuni 10 asnaf melalui program Ziarah Ramadan Siri 2 di Bandar Tun Razak, di sini, hari ini.

Melalui program itu, McDonald’s dan ASTRO menyerahkan sumbangan Ramadan berbentuk duit raya, barangan keperluan harian serta juadah berbuka menggunakan dana wakalah dan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM12,000.

Pengerusi Ahli Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi, berkata kolaborasi julung kali syarikat itu bersama Astro dan PPZ-MAIWP adalah sebahagian pendekatan CSR yang sudah lama dibudayakannya.

“Sebagai pembayar zakat kepada PPZ-MAIWP, sebahagian daripada bayaran itu diagihkan semula kepada kami melalui dana wakalah untuk kami salurkan secara terus kepada asnaf melalui program McDelivery Berbakti.

“Menariknya melalui program ini, kami bukan sahaja dapat melakukan sendiri agihan dan menghayati kesusahan asnaf tetapi pada masa sama merasai pengalaman membuat agihan zakat seperti sering dilakukan Baitulmal MAIWP,” katanya selepas melakukan kunjungan ziarah kepada 10 keluarga asnaf itu.

Turut serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP, Mohd Nizam Yahya; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif PPZ- MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman; Timbalan Ketua Pegawai Operasi PPZ-MAIWP, Mohammed Hassan dan Pengurus Baitulmal MAIWP, Ahmad Talmizi Yahaya.

Antara penerima yang disantuni dalam program itu ialah Mohd Haidir Mohd Zin, 51, yang mengalami lumpuh anggota badan kiri sejak 2016 disebabkan penyakit darah tinggi.

Mohd Haidir yang kini tinggal bersama kedua orang tuanya, tidak dapat bekerja sejak lima tahun lalu dan kini menerima bantuan bulanan sebanyak RM300 daripada Baitulmal-MAIWP sejak tahun lalu.

“Saya berterima kasih di atas keprihatinan ditunjukkan McDonald’s dan Astro. Sumbangan ini begitu bermakna, terutamanya sebagai persiapan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi,” katanya.

Selain sumbangan berupa barangan keperluan bernilai RM500 dan bantuan kewangan RM500 daripada McDonald’s, 10 keluarga asnaf terpilih turut menerima sumbangan kewangan RM1000 (Astro) Astro dan tajaan kotak Ramadan bernilai RM100 (PPZ-MAIWP).

Sementara itu, Mohd Nizam, berkata kolaborasi dengan McDonald’s dan Astro melalui program itu dilakukan bagi membentuk komuniti MAIWP yang tidak hanya terhad kepada kakitangan agensi itu sahaja.

“Kami mahu wujudkan satu komuniti zakat yang mana adanya pembabitan antara penerima bantuan serta pembayar zakat dan mana-mana pihak yang melakukan kebajikan melalui platform MAIWP.

“Melalui komuniti zakat ini, dapat dipamerkan satu ekosistem zakat supaya masyarakat dan pembayar tahu ke mana arah agihan wang bantuan zakat.

“Ini sekali gus menunjukkan kepentingan bayaran zakat ini untuk dikongsikan dengan asnaf serta sebagai satu bantuan untuk membantu mereka keluar daripada kepompong kemiskinan” katanya.

Menurut Mohd Nizam, kolaborasi ini juga bersesuaian dengan tema Ramadan Untuk Semua bertujuan mengeratkan hubungan antara pembayar zakat dan asnaf.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top