PETALING JAYA: Pembayaran zakat fitrah kini boleh dibuat bagi 10 negeri menerusi aplikasi Tulus bagi menggalakkan umat Islam menunaikan rukun Islam ketiga secara mudah, selamat dan telus melalui platform digital.
Ketua Pegawai Operasi Tulus Digital Sdn. Bhd. (Tulus Digital), Shahril Emran berkata, antara negeri tersebut termasuk Wilayah Persekutuan, Selangor, Negeri Sembilan, Sabah, Sarawak, Johor, Pulau Pinang, Terengganu, Kelantan serta Perlis.
Katanya, integrasi ini membolehkan pengguna memilih negeri masing-masing dan melaksanakan pembayaran secara terus melalui satu platform digital yang diyakini tanpa kekangan masa dan lokasi.
“Pendekatan digital ini selari dengan agenda pendigitalan kewangan sosial Islam di Malaysia, selain membantu memperkukuhkan ekosistem zakat digital negara.
“Aplikasi Tulus boleh dimuat turun melalui Google Play Store dan Apple App Store, manakala pembayaran juga boleh dibuat melalui app.tulus.my dan www.tulus.my,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Shahril berkata, pihaknya melancarkan kempen Ramadan 1447H bertemakan ‘BerkatZakat – Satu klik, seribu keberkatan’ bagi menggalakkan umat Islam menunaikan kewajipan zakat secara mudah, selamat dan telus menerusi platform digital.
Menurutnya, aplikasi tersebut berjaya berkembang sebagai platform pembayaran beretika yang dipercayai rakyat Malaysia dalam pengurusan zakat serta urusan amal jariah termasuk wakaf, infak dan sedekah.
“Platform itu mematuhi prinsip syariah serta dipandu nilai Maqasid Al-Shariah dalam memastikan ketelusan dan akauntabiliti bagi setiap transaksi yang dilaksanakan,” jelasnya. – UTUSAN




