Pembekuan akaun Bersatu tidak beri kesan pada Pas

Pembekuan akaun Bersatu tidak beri kesan pada Pas

KOTA BHARU : Pembekuan akaun milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak memberi apa-apa kesan kepada imej Pas.

Naib Presidennya Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, proses pembekuan akaun itu adalah perkara biasa bagi membolehkan SPRM menjalankan proses penyiasatan.

Menurutnya, semua pihak diminta untuk tidak membuat sebarang kesimpulan awal sebaliknya menyerahkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan.

“Bagi saya ia (pembekuan akaun) tidak ada apa-apa (tidak menjejaskan Pas) kerana perkara ini masih dalam siasatan dan kita tidak tahu lagi sama ada salah atau betul.

“Kalau kita tengok dalam akaun tersebut berapa sangat duit yang ada, defisit yang banyak. Biar SPRM jalankan siasatan dan tunggu keputusannya.Kita tidak boleh buat kesimpulan lebih awal,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan akaun Bersatu dibekukan dan perkara itu dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.

Ia bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM92.5 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, akaun Bersatu dibekukan  lebih dua minggu lalu dan siasatan masih berterusan selain saksi akan dipanggil untuk membantu siasatan. 

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pertembungan dua penjuru sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bergabung di Kelantan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti, Mohd. Amar memberitahu, Pas  bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan sama ada pertandingan tiga penjuru mahupun dua penjuru.

“Kita lawan, dua penjuru pun kita lawan, tiga penjuru pun kita lawan. Tiada apa-apa masalah dari pihak kita (Pas), kita lawan sokmo, kalau menang mujur, kalau kalah balik modal,” ujarnya-UTUSAN

 

The post Pembekuan akaun Bersatu tidak beri kesan pada Pas appeared first on Utusan Malaysia.

Scroll to Top