harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Perdana Menteri menegaskan tiada pihak seharusnya campur tangan dalam keputusan membekukan semua tender perolehan membabitkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) yang diumumkan minggu lalu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu diambil bagi memastikan semua perolehan aset pertahanan negara dilaksanakan melalui proses yang telus, susulan dakwaan berhubung isu ketirisan membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini.
“Saya beritahu (pembekuan) itu sekali semua, yang telah diluluskan, yang belum dimuktamadkan akan diteliti semula saya minta beliau sendiri (Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) pantau dari sudut kewangan.
“Saya tegaskan pembekuan semua perolehan ini tidak harus sesiapa pun ganggu, ia mesti lalui proses yang lebih telus dan dipertanggung jawab kepada menteri bersama KSU industri pertahanan,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Peluncuran Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN), di sini, hari ini.
Perdana Menteri percaya proses perolehan dapat dijalankan dengan lebih telus berdasarkan kemahiran, dan keperluan semasa angkatan pertahanan negara yang beliau akui di luar kepakaran dirinya.
Katanya, beliau akan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan baharu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung isu perolehan sejurus barisan pegawai berkenaan diputuskan kelak.
“Kepakaran itu ada pada saudara-saudari, bukan pada saya nak tentukan jenis senjata kelengkapan yang diperlukan mengikut urutan dan keterbatasan kita.
“Saya percaya ini dapat dilakukan sebaik diputuskan kepimpinan baharu bersama Menteri Pertahanan dan saya akan berikan seluruh dukungan dan sokongan termasuk apa yang dilakar dalam DIPN hari ini, itu jaminan saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




