Tak kira Ramadan perjalanan akademik diteruskan juga. Begitulah kehidupan seorang pelajar. Seperti yang kita ketahui, bulan ini membawa semangat membersihkan rohani. Tetapi, pada masa sama, aktiviti dalam bulan yang mulia ini mengubah corak tidur, tahap tenaga dalam badan dan rutin seharian. Bagi pelajar, cabaran ketara iaitu bagaimana mengekalkan sesi pembelajaran yang efektif semasa berpuasa?
Penyelidikan lepas mengusulkan Ramadan beri kesan kepada pelajar dalam pelbagai bentuk. Merujuk kepada satu artikel yang diterbitkan dalam jurnal BMC Public Health, 90.1 perarus pelajar melaporkan bahawa tidur mereka terganggu, manakala 61.4 peratus menunjukkan prestasi kurang memberangsangkan dalam pembelajaran disebabkan keletihan. Tetapi, penyelidikan dalam bidang yang sama merumuskan aktiviti yang memerlukan tindak balas pantas dan berterusan lebih baik dilakukan pada sebelah pagi semasa berpuasa kerana prestasi otak lebih tajam pada awal hari. Jelaslah di sini, Ramadan tidak menghalang proses pembelajaran, namun, para pelajar sekalian boleh mengubah cara pembelajaran semasa berpuasa untuk mencapai hasil yang baik.
Apabila isu pembelajaran dibincangkan, kata kuncinya mudah, iaitu masa dan tujuan. Pelajar yang bangun pada awal pagi untuk bersahur dan sebelumnya, menunaikan solat sunat, sudah pasti mengalami perubahan pada kitaran dalaman tubuh masing-masing. Para penyelidik yang mengkaji berkenaan tidur mengenal pasti berpuasa boleh mengganggu kualiti tidur dan meningkatkan rasa lesu badan, namun demikian kesannya berbeza berdasarkan tabiat peribadi, pemakanan dan juga pengurusan masa. Ini dapat disimpulkan bulan Ramadan bukan penyebab untuk mengelak daripada belajar, tetapi mengajar bagaimana menguruskan diri dengan bijak, terutama pembahagian masa.
Oleh itu, antara strategi pembelajaran yang paling berkesan semasa berpuasa ialah jadualkan kerja kognitif pada sebelah pagi. Pelajar boleh memperuntukkan blok waktu ini untuk mengulang kaji, membuat latihan penyelesaian masalah atau menyiapkan tugasan menulis. Sebaliknya, pada waktu tengah hari di mana tahap tenaga mulai berkurangan, ia boleh diperuntukkan untuk tugas yang lebih ringan, misalnya, menyemak semula nota, menonton kuliah dalam format video atau menyertai sesi perbincangan berkumpulan.
Seterusnya, nutrisi juga memainkan peranan penting. Banyak kajian menyatakan pengambilan makanan adalah kurang dalam bulan Ramadan dan ia boleh mengganggu daya tumpuan dan ketahanan. Bagaimanapun, apabila amalan sahur yang baik dipraktikkan, yang kaya dengan karbohidrat kompleks, protein dan air, cara ini boleh membekalkan tenaga untuk sepanjang hari berpuasa. Pakar nutrisi mencadangkan pilihan makanan yang sesuai dengan rakyat Malaysia bagi mengekalkan tenaga berpanjangan antaranya oat, telur, buah dan kekacang.
Selain daripada bentuk fizikal, bulan Ramadan juga meningkatkan ketahanan mental dan emosi. Berdasarkan kepada satu kajian literatur sistematik, 71.4 peratus penyelidikan lepas bersetuju bahawa berpuasa boleh menambah baik kesejahteraan psikologi, termasuk mengurangkan tekanan dan meningkatkan kawalan emosi. Dapatan kajian ini bermakna bagi anak-anak pelajar kerana kestabilan emosi adalah faktor sokongan utama kepada fokus dan motivasi belajar dan juga pengekalan pencapaian akademik yang bermutu.
Pakar pendidikan psikologi juga menekankan kepentingan disiplin diri dan rutin yang baik dalam kehidupan seorang pelajar. Pelajar boleh berjaya apabila mereka faham usaha adalah jalan kepada penguasaan ilmu dan kemahiran dan seterusnya, mereka perlu melakukan usaha yang berterusan. Secara alaminya, bulan Ramadan menerapkan prinsip sebegini. Tatatertib berpuasa, iaitu menahan diri, mengekalkan fokus dan mempraktikkan rasa sabar, menyerupai langkah diperlukan untuk berjaya dalam akademik.
Di negara kita, pakar dalam bidang pendidikan sering mengingatkan bahawa pembelajaran secara holistik perlu dilaksanakan. Pendidikan mesti dibangunkan berasaskan dimensi intelektual dan spiritual, bukan salah satu sahaja. Maka, bulan Ramadan yang penuh dengan rahmat ini menyediakan peluang untuk mengintegrasikan intelektual dan spiritual, melatih para pelajar untuk menjadi lebih pandai, berdaya tahan dan mempunyai tahap kepekaan yang tinggi. Kesempatan yang hadir sekali setahun ini diharapkan dapat menjadi titik permulaan kepada perkembangan akademik dan sahsiah diri yang lebih unggul.
Dari sudut teknologi, jika digunakan dengan bijak, ia dapat menyokong sesi pembelajaran semasa berpuasa. Kuliah yang dirakam, aplikasi pembelajaran dan perancang digital membenarkan pelajar mengadaptasikan mod pembelajaran dengan tuntutan peribadi masing-masing dalam bulan Ramadan seperti solat, berehat dan komitmen kepada keluarga. Di samping itu, fleksibiliti pengajaran yang semakin diamalkan di peringkat pendidikan tinggi di negara kita membolehkan pelajar menyesuaikan rentak pembelajaran dalam bulan Ramadan.
Justeru, Ramadan tidak boleh dilihat sebagai bulan yang mengurangkan produktiviti, tetapi perlu dihayati sebagai bulan yang penuh dengan produktiviti yang bermatlamat. Pelajar boleh meneruskan pembelajaran seperti sediakala dengan menyesuaikan jadual dengan corak tenaga, mengutamakan tidur dan mengekalkan objektif akademik yang realistik. Sesungguhnya, hadirnya Ramadan itu untuk mengajar kesabaran, disiplin, malah tujuan, yang semuanya mendefinisikan bagaimana seorang pelajar boleh berjaya.
Penulis Pensyarah Kanan di Jabatan Kurikulum & Teknologi Pengajaran, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya
© New Straits Times Press (M) Bhd




