Pembeli kelapa sawit wajib keluar resit tahun depan – Johari

Pembeli kelapa sawit wajib keluar resit tahun depan – Johari

khairil.ashraf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pembeli buah kelapa sawit daripada pekebun kecil diwajibkan untuk mengeluarkan resit pembelian bermula tahun hadapan, kata Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, pembeli juga perlu memperbetulkan timbang mereka apabila membeli buah kelapa sawit susulan aduan yang diterimanya daripada pekebun kecil.

“Banyak maklum balas saya dapat, mereka mengadu cakap pembeli ini timbang salah dan sebagainya.

“Mereka yang terlibat dalam industri ini kena pastikan supaya mengikut prosedur yang kita tetapkan.

“Sekiranya dia melanggar prosedur ini, lesennya tidak akan diperbaharui dan kita akan bermula pada pada tahun 2025,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-26 Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Perdasama, Mohd Azamanizam Baharon.

Mengulas lanjut, Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, beliau juga mengarahkan penguatkuasa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk memantau perkara itu dan melakukan pemeriksaan mengejut.

“Penguatkuasa di MPOB akan turun ke bawah, pergi kepada setiap peniaga ini (lakukan siasatan) secara mengejut.

“Kita akan tengok berapa (jumlah timbang) dan kita minta jangan ada penipuan,” katanya.

Dalam pada itu, Johari juga berpandangan hasil pengeluaran kelapa sawit yang ada di negara ini juga seharusnya ditingkatkan.

Menurutnya, dengan peningkatan hasil pengeluaran, ia akan menjadikan negara ini kompetitif dan adanya permintaan daripada negara luar terhadap kelapa sawit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top