Pembelian panik, jangan bertindak tidak rasional akibat maklumat tak sahih – Ahli Akademik

Pembelian panik, jangan bertindak tidak rasional akibat maklumat tak sahih – Ahli Akademik

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kebimbangan terhadap krisis tenaga global mula mencetuskan fenomena pembelian panik dalam kalangan rakyat negara ini apabila ada yang dilihat menyimpan stok makanan, mengeluarkan wang tunai dan membeli peralatan sokongan tenaga secara berlebihan.

Perkembangan itu dikaitkan dengan penyebaran maklumat tidak sahih di media sosial selain situasi ekonomi global yang tidak menentu.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Presiden Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA), Prof Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, orang ramai tidak seharusnya bertindak panik kerana ia boleh mendorong kepada keputusan tidak rasional.

Menurutnya, tindakan seperti membeli makanan secara berlebihan, menyimpan wang tunai di rumah atau mendapatkan peralatan tenaga dalam jumlah besar adalah contoh tingkah laku didorong ketakutan.

“Apabila pengguna panik, mereka cenderung bertindak ikut-ikutan kerana bimbang tidak mendapat bekalan walaupun sebenarnya keadaan masih terkawal.

“Kerajaan juga sudah memberi jaminan bahawa bekalan makanan dan petroleum masih mencukupi, justeru tindakan melampau hanya akan mencetuskan gangguan pasaran,” katanya kepada Harian Metro di sini, hari ini.

Katanya, pembelian panik boleh menyebabkan kekurangan bekalan sementara, sekali gus mendorong kenaikan harga dan membuka ruang kepada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

“Jika semua orang membeli secara berlebihan, ia akan mencipta kekurangan yang sebenarnya tidak wujud dan akhirnya membebankan pengguna sendiri.

“Orang ramai disarankan supaya mengekalkan simpanan kewangan secara bijak termasuk menyediakan dana kecemasan sekurang-kurangnya antara satu hingga tiga bulan perbelanjaan,” katanya.

Tambahnya, menyimpan wang dalam jumlah besar di rumah bukan sahaja tidak menguntungkan malah berisiko tinggi dari segi keselamatan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Zaleha Yazid berkata, fenomena itu kini mula menular melalui kumpulan WhatsApp dan media sosial.

Katanya, terdapat individu yang berkongsi kebimbangan mengenai krisis tenaga sehingga mendorong orang lain membuat persediaan panik.

“Apabila maklumat diterima tanpa tapisan, ia mencetuskan ketakutan dan budaya ikut-ikutan sehingga keadaan menjadi tidak terkawal.

“Pembelian panik boleh menjejaskan rantaian bekalan walaupun stok sebenar mencukupi selain mewujudkan ketidaksamaan akses terutama kepada golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Tambahnya, situasi itu juga berpotensi mencetuskan ketegangan sosial apabila berlaku perebutan barangan keperluan yang sepatutnya mudah diperoleh.

“Kini menjadi keperluan komunikasi krisis yang jelas dan bersepadu daripada pihak berkuasa termasuk kemungkinan mengehadkan pembelian serta memantau harga di pasaran,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber UPM, Profesor Dr Norsida Man berkata, pembelian panik sebenarnya lebih dipengaruhi faktor psikologi berbanding kekurangan bekalan sebenar.

Penyelidik itu berkata, tindakan pengguna yang meniru orang lain menyebabkan gangguan sementara dalam pasaran walaupun bekalan masih mencukupi.

Katanya, kesan utama termasuk ketidakseimbangan agihan makanan selain risiko pembaziran apabila stok tidak digunakan sebelum rosak atau tamat tempoh.

“Pengguna perlu membeli berdasarkan keperluan sebenar dan tidak terpengaruh dengan panik yang tidak berasas.

“Ketelusan maklumat dan komunikasi berkesan daripada pihak berkuasa amat penting bagi mengekalkan kestabilan sistem bekalan makanan negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top