Pembelian pesawat Boeing strategi perniagaan MAG, tidak babit wang rakyat

Pembelian pesawat Boeing strategi perniagaan MAG, tidak babit wang rakyat

Kuala Lumpur: Pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group (MAG) bukanlah pembaziran wang cukai rakyat, sebaliknya merupakan keputusan perniagaan strategik yang dirancang lebih awal dan dibiayai menggunakan dana syarikat, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata rancangan pembelian itu telah diumumkan seawal Mac 2025, iaitu sebelum Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan sebarang tarif baharu terhadap barangan import.

“Jadi, apa kaitan pembelian ini dengan rundingan tarif? Apabila AS mengenakan tarif, ia sebahagiannya disebabkan oleh defisit dagangan.

“Maksudnya, kita jual lebih banyak barangan ke AS berbanding membeli barang dari negara itu. Jadi AS cuba nak kurangkan defisit ini dengan mengenakan tarif yang tinggi, 25 peratus,” katanya dalam catatan beliau di platform X hari ini.

Tengku Zafrul berkata sehubungan itu, Malaysia mengambil peluang ini dengan menyenaraikan semua pembelian besar yang dirancang oleh syarikat-syarikat Malaysia dari AS, termasuk pesanan pesawat Boeing berkenaan.

“Bukan kita beli semata-mata sebab nak kurangkan tarif,” kata beliau.

Menurutnya pendekatan ini menunjukkan kepada AS bahawa Malaysia juga merupakan pembeli besar produk mereka dan pada akhirnya meyakinkan negara itu untuk menurunkan tarif eksport Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus.

“Strategi bijak ini adalah hasil perundingan yang teliti, memastikan kepentingan syarikat dan negara terpelihara,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mac mengumumkan bahawa MAG telah membuat tempahan sebanyak 30 pesawat Boeing 737 yang dijadualkan dihantar kepada syarikat itu menjelang 2030.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top