Pembenihan awan dilaksanakan bila temui awan bersesuaian – Safar Untong

Pembenihan awan dilaksanakan bila temui awan bersesuaian – Safar Untong

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Proses pembenihan awan di Sabah hanya dilaksanakan jika keadaan awan yang bersesuaian.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Seri Safar Untong berkata, pihaknya sedang melakukan pemantauan rapi bersama Jabatan Meteorologi Negeri namun faktor kesesuaian awan antara keutamaan diambil kira bagi memastikan keseluruhan proses pembenihan awan berjalan lancar.

“Semua sedang dalam pemantauan dan kita hanya menunggu ada awan yang sesuai untuk buat pembenihan.

“Menurut perancangan, kita memang mahu perkara ini dilakukan secepat mungkin tetapi bukan semua awan sesuai bagi pembenihan untuk turunkan hujan.

“Oleh itu, pemantauan dari semasa ke semasa giat kita lakukan ketika ini,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Petronas Bersama Pemegang Taruh di sini, semalam.

Dalam pada itu, Safar turut menyatakan semua pihak termasuk kerajaan Persekutuan memberikan reaksi positif berkenaan pembenihan awan yang hendak dilakukan di negeri berkenaan.

Sementara itu, ditanya mengenai situasi kemarau di seluruh Sabah ketika ini, Safar memaklumkan semua berada dalam keadaan terkawal namun beberapa pendekatan sudah diambil seperti penghantaran air serta penyediaan tangki di kawasan yang dilihat berada dalam situasi darurat.

“Sebenarnya semua masih dalam kawalan.

“Sekarang kita sudah perbanyakkan penghantaran air selain akan sediakan tangki-tangki di setiap kampung terjejas teruk masalah air,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top