SEREMBAN: Pemberian tanah bagi pembinaan jeti pelabuhan kontena bercirikan kecerdasan buatan (Container AI Port) di Port Dickson telah diluluskan pada 19 Mac lepas dengan keseluruhannya melibatkan tanah dasar laut.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, proses seterusnya selepas ini adalah untuk seluruh kawasan berkenaan diwartakan.
“Sehubungan itu, kawasan diluluskan itu perlu diwartakan, maksud peluasan daerah, pada masa ini sijil pembebasan upah ukur telah diluluskan oleh Pejabat Tanah dan Galian negeri.
“Pejabat Daerah Tanah Port Dickson kini dalam tindakan mengemukakan permintaan ukur kepada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) sebelum menyediakan draf warta sebelum surat kelulusan dikeluarkan,”katanya.
Aminuddin (PH-Sikamat) berkata ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Diraja pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan di sini hari ini.
Sebelum ini ketika membahaskan usul berkenaan, Anthony Loke Siew Fook (PH-Chennah) meminta kerajaan Negeri Sembilan mempercepatkan proses kebenaran merancang bagi projek pembinaan pelabuhan kontena bercirikan kecerdasan buatan (AI) di Port Dickson.
Pelabuhan berkenaan katanya dijangka menjadi pemangkin penting kepada pembangunan negeri dan memperkukuh sektor perindustrian dan pembangunan Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0.
Dalam perkembangan lain, Menteri Besar berkata, liputan internet dan komunikasi di kawasan berpenduduk di Negeri Sembilan telah mencapai 99.9 peratus setakat 31 Januari lalu. – UTUSAN