Pemberontak Myanmar dakwa tawan pangkalan tentera

Pemberontak Myanmar dakwa tawan pangkalan tentera

BANGKOK: Kumpulan pemberontak etnik mendakwa menyerang dan menawan pangkalan tentera di timur Myanmar berhampiran sempadan Thailand awal pagi hari ini.

Myanmar bergolak sejak tentera menggulingkan pemimpin awam Aung San Suu Kyi dalam rampasan kuasa 1 Februari lalu, mencetuskan pemberontakan menyaksikan pasukan keselamatan bertindak ganas terhadap penunjuk perasaan.

Gerakan itu mendapat sokongan luas di seluruh negara, termasuk beberapa kumpulan pemberontak bersenjata Myanmar di sempadan, yang selama beberapa dekad memerangi tentera untuk mendapatkan kuasa autonomi.

Salah satu kumpulan penentang terbesar ialah Kesatuan Kebangsaan Karen (KNU), yang bertempur dengan tentera di wilayah mereka di sepanjang sempadan timur Myanmar selama berminggu-minggu.

Pertempuran meletus dekat sungai Salween yang berdekatan sempadan, dengan penduduk di bahagian Thailand melaporkan bunyi tembakan dan letupan dari dalam Myanmar.

“Pasukan kami menawan kem tentera Myanmatv,” kata ketua Hak Ehwal Luar KNU, Padoh Saw Taw Nee kepada AFP, sambil menambah bahawa pertempuran berlangsung sekitar jam 5 pagi.

“Kami dapat mendengar bunyi peluru dari sebelah sana,” kata Hkara, seorang penduduk Mae Sam Laep di dalam sempadan Thailand.

“Kami melihat lima atau enam tentera Myanmar berlari ke sungai dan kemudian kami melihat KNU menembak mereka, tetapi keadaan sangat gelap,” katanya.

Dianggarkan sepertiga wilayah Myanmar kebanyakannya di wilayah sempadan dikendalikan oleh segelintir kumpulan pemberontak, yang memiliki tentera mereka sendiri.

KNU dengan lantang mengecam keganasan junta tentera dan menyatakan mereka melindungi sekurang-kurangnya 2,000 pembangkang anti rampasan kuasa yang melarikan diri dari pertempuran. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top