Pembinaan dah siap 47 peratus

Pembinaan dah siap 47 peratus

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Projek Membina Jambatan Antara Kampung Pasir Era ke Kampung Pasir Kelang, Kuala Krai, Kelantan yang bermula pada 19 Ogos 2021 kini sudah mencapai kemajuan kerja fizikal sebanyak 47.52 peratus sehingga 20 Disember 2025.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Kelantan, Nik Badlihisham Nik Ismail berkata, bagaimanapun, projek berkenaan berdepan cabaran apabila bencana banjir dan arus sungai yang deras mengakibatkan kerosakan pada temporary working platform awal Disember tahun lalu sehingga memberi kesan kepada kelancaran kerja pembinaan.

“Pihak kontraktor dijangka memulakan kerja pembinaan semula jambatan sementara bulan ini dan dianggarkan mengambil masa selama tiga bulan untuk disiapkan sepenuhnya. Bagaimanapun, pihak yang terbabit optimis pembinaan semula jambatan sementara ini akan membolehkan kerja pembinaan utama diteruskan seperti yang dirancang selain memastikan aspek keselamatan di tapak projek berada pada tahap yang ditetapkan,” katanya.

Semalam, Harian Metro melaporkan sejak puluhan tahun lalu, ribuan penduduk di lima kampung di seberang Sungai Kelantan masih menantikan projek pembinaan jambatan yang menghubungkan perkampungan ke bandar Kuala Krai disiapkan.

Hampir 5,000 penduduk dari Kampung Pasir Kelang Lama, Pasir Kelang Baru, Sungai Taku, Taku Estet, dan Kampung Buyong Darul Hijrah terpaksa bergantung kepada perkhidmatan feri atau bot untuk menyeberangi sungai.

Dalam pada itu. Nik Badlihisham berkata, projek berkenaan belum dapat disiapkan sepenuhnya berikutan beberapa faktor utama, antaranya hampir 80 peratus temporary working platform dihanyutkan banjir pada 1 Disember 2025.

“Kerosakan ini juga berulang dua kali kerana bencana banjir serta arus sungai yang deras sekali gus menjejaskan kelancaran kerja pembinaan. Isu pengambilan tanah juga antara faktor menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan projek ini,” katanya.

Beliau berkata, tarikh siap semasa bagi projek berkenaan adalah pada 30 Disember 2026.

Selain itu, katanya, projek pembangunan infrastruktur membabitkan pembinaan jalan sepanjang satu kilometer dan sebuah jambatan sepanjang 400 meter sedang dilaksanakan bagi meningkatkan jaringan perhubungan darat di daerah Kuala Krai.

“Projek ini dilaksanakan mengikut standard Jabatan Kerja Raya (JKR) R2 yang sesuai untuk kegunaan jalan luar bandar serta memenuhi keperluan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya. Pembinaan jalan dan jambatan ini akan menghubungkan Kampung Pasir Era dengan Kampung Pasir Kelang, sekali gus menyediakan laluan alternatif yang lebih selamat dan efisien,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top