Pembinaan Hospital Pengajar UNIMAS capai kemajuan 75.65 peratus

Pembinaan Hospital Pengajar UNIMAS capai kemajuan 75.65 peratus

Kuala Lumpur: Kemajuan kerja fizikal projek Hospital Pengajar dan Pusat Kesihatan Prima (PKP) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) di Kota Samarahan telah mencapai 75.65 peratus setakat 25 Februari lepas.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui Pasukan Projek Khas 2 itu menggunakan kaedah reka dan bina dengan kos kontrak semasa sekitar RM489.49 juta.

Beliau berkata projek berkenaan merupakan antara inisiatif penting kerajaan dalam memperkukuh kemudahan kesihatan serta menyokong pembangunan pendidikan perubatan di Sarawak.

“Apabila siap kelak, hospital ini akan menjadi pemangkin kepada peningkatan akses perkhidmatan kesihatan serta pembangunan bakat perubatan tempatan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Nanta berkata kerajaan komited memastikan projek itu dapat disiapkan mengikut jadual supaya kemudahan berkenaan dapat memberi manfaat kepada rakyat serta menjadi pusat latihan perubatan yang berkualiti di Sarawak.

Terdahulu, beliau mengadakan tinjauan ke tapak projek berkenaan bagi melihat perkembangan komponen utama termasuk bangunan hospital utama, PKP, klinik pakar dan jabatan kecemasan serta kemudahan sokongan seperti parkir, kawasan landskap terapeutik dan infrastruktur sokongan.

“Saya juga menekankan kepada semua pihak yang terlibat supaya terus memperkukuh koordinasi dan memastikan setiap isu pelaksanaan ditangani secara proaktif bagi memastikan kelancaran projek,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top