Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menegaskan bahawa pembinaan Kota MADANI di Putrajaya merupakan langkah penting bagi menangani isu perumahan dalam kalangan penjawat awam.
Beliau berkata, lebih 60 peratus penjawat awam menetap di Putrajaya dan jumlah permohonan untuk mendapatkan kediaman kini mencecah sekitar 17,000 orang.
“Kota MADANI ini adalah satu keperluan. Seperti yang saya sebut dalam ucapan saya juga, bahawa mereka yang menunggu, terutamanya penjawat awam ini, ramai sehingga 17,000 orang,” katanya.
Pembinaan Kota MADANI demi keperluan penjawat awam
Menurut Zaliha, projek itu dijangka menyediakan unit perumahan untuk kira-kira 10,000 penjawat awam, sekali gus membantu mengurangkan beban permintaan terhadap kuarters kerajaan yang sedia ada.
“Saya tidak setuju jika dinyatakan bahawa ia harus dilewatkan pembinaan,” tegasnya ketika ditemui selepas merasmikan Program Mata Hati Wilayah 2025 di Sekolah Kebangsaan Sri Bintang Utara, hari ini.
Artikel lain: Tak bazir! Kota MADANI bukan projek elitis, tapi pelaburan masa depan – AMK
Terdahulu, Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden menggesa kerajaan menangguhkan pembinaan Kota MADANI yang dianggarkan menelan belanja sekitar RM4 bilion, dengan alasan ia dilihat membebankan kewangan negara ketika rakyat sedang bergelut dengan kos sara hidup, pemotongan subsidi dan ketidaktentuan ekonomi global.
Dalam perkembangan lain, Zaliha memaklumkan proses pemutihan dan saringan penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) sedang dilaksanakan bagi memastikan kemudahan itu hanya diberikan kepada mereka yang benar-benar layak.
Katanya, antara isu yang dikesan termasuk unit PPR yang disewakan kepada pihak lain serta tunggakan bayaran yang tinggi, dan tindakan akan diambil terhadap penyewa yang menyalahgunakan kemudahan tersebut.
Sumber: Utusan Online (Aslinda Nasir)