Pembinaan rumah ibadat wajib patuhi undang-undang – Sultan Pahang

Pembinaan rumah ibadat wajib patuhi undang-undang – Sultan Pahang

am@hmetro.com.my

Kuantan: Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa pembinaan mana-mana rumah ibadat di negeri ini wajib mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan bagi menjamin keharmonian masyarakat majmuk.

Baginda bertitah, membina rumah ibadat tanpa melalui saluran yang sah bukan sahaja melanggar peraturan, malah berpotensi mencetuskan salah faham serta ketegangan antara kaum dan agama.

“Undang-undang ini bukan untuk menyekat, bukan juga untuk menindas tetapi untuk menyelaraskan serta menjamin keadilan dan keharmonian bersama,” titahnya ketika berkenan berangkat merasmikan Masjid Tengku Amir Ibrahim Sultan Abdullah di Taman Bukit Bendera, Temerloh, semalam.

Titah itu kemudian disiarkan menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, hari ini.

Turut berangkat, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Al-Sultan Abdullah turut bertitah, mana-mana pihak yang bertindak mengikut pertimbangan sendiri tanpa merujuk peraturan boleh menimbulkan kekeliruan dan perbalahan dalam kalangan masyarakat.

“Ibarat membina rumah tanpa pelan, akhirnya akan roboh menyembah bumi,” titah baginda sambil menegaskan bahawa negeri Pahang memerlukan ketertiban dan bukan tindakan terburu-buru yang mengundang sengketa.

Sehubungan itu, baginda menyeru pihak berkuasa dan pihak berkuasa tempatan melalui jawatankuasa rumah ibadat bukan Islam, Jabatan Agama Islam serta pemimpin komuniti berganding bahu memperjelaskan prosedur serta memberi bimbingan sewajarnya kepada masyarakat.

Pada masa sama, titah baginda, rakyat turut diingatkan supaya bersikap matang dan bertanggungjawab dalam setiap tindakan demi memelihara perpaduan negeri.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top