am@hmetro.com.my
Georgetown: Malang bagi pembuat kek di sebuah kedai di sini, yang juga lelaki berstatus Orang Kurang Upaya (OKU), apabila kerugian RM523,350 akibat terpedaya dengan tawaran kerja tidak wujud.
Mangsa yang berusia 45 tahun dikatakan mula terjerat denga penipuan itu Disember lalu selepas menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp nombor telefon tidak dikenali daripada seorang wanita.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, suspek menawarkan peluang pekerjaan kepada mangsa bagi menjual barangan permainan kanak-kanak menerusi aplikasi TikTok dengan janji keuntungan antara 10 hingga 15 peratus.
Katanya, Mangsa yang bersetuju dengan tawaran itu diminta mengeluarkan wang bagi menampung kos harga barangan tempahan pelanggan.
“Mangsa sudah melakukan 41 transaksi pemindahan wang RM523,350 daripada akaun peribadi ke lima akaun bank berbeza menerusi mesin deposit tunai (CDM), antara 18 Disember hingga Isnin lalu.
“Lelaki itu mendapati tiada sebarang keuntungan diterima daripada pekerjaan berkenaan, malah suspek masih meminta bayaran tambahan. Mangsa kemudian menyedari dirinya ditipu dan enggan membuat bayaran lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut, semalam, bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, Mohd Alwi menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dan semak dahulu dengan agensi berkaitan sekiranya menerima mesej WhatsApp daripada individu tidak dikenali yang menawarkan peluang pekerjaan.
Semakan terhadap akaun bank dan nombor telefon yang mencurigakan boleh dibuat menerusi pautan Semakmule (https://semakmule.rmp.gov.my) atau dengan hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd