Pembuat mi berdepan detik cemas, cuba dirompak 2 lelaki berparang

Pembuat mi berdepan detik cemas, cuba dirompak 2 lelaki berparang

am@hmetro.com.my

Hulu Selangor: Seorang pembuat mi berdepan detik cemas apabila diserang dua lelaki dengan parang dalam cubaan samun di premisnya di Ulu Yam Bharu, di sini, Rabu lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Superintendan Mohd Asri Mohd Yunus berkata, terdahulu, pihaknya mengesan kejadian itu yang videonya tular di media sosial memaparkan dua suspek berpakaian hitam, bertopi dan memakai topeng muka.

Beliau berkata, lelaki berusia 30 tahun itu membuat laporan di balai polis berhampiran, pada 6.42 pagi hari sama.

“Semasa mangsa berada dalam kedai, dua suspek dipercayai warga tempatan datang melalui pintu belakang premis dan cuba menyerangnya menggunakan parang.

“Mangsa kemudian menjerit meminta tolong yang menyebabkan suspek panik dan melarikan diri. Suspek juga tidak berjaya melarikan harta milik mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Asri berkata, ketika ini, polis sedang giat memburu kedua-dua suspek mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor di talian 03-60641132 atau Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Saiful Abdul Rahman (013-5547435).

Terdahulu, rakaman video kejadian cubaan samun itu tular di media sosial.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top