Pembukaan laluan kapal minyak beri kelegaan tetapi pemulihan ekonomi masih terhad

Pembukaan laluan kapal minyak beri kelegaan tetapi pemulihan ekonomi masih terhad

hafizithnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Pembukaan laluan kepada kapal Malaysia di kawasan konflik memberi kelegaan besar kepada negara dalam menangani krisis bekalan minyak namun kesannya terhadap pemulihan ekonomi secara keseluruhan masih terhad.

Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Abdul Razak berkata, Malaysia sebelum ini berdepan situasi membimbangkan apabila paras stok minyak negara berada pada tahap sangat rendah iaitu kurang daripada tiga bulan.

Beliau berkata, kebenaran laluan kepada kapal minyak Malaysia yang sebelum ini tertangguh menjadi perkembangan penting dalam memastikan bekalan kembali stabil.

“Dari segi kuantiti, kita hampir menyelesaikan masalah. Sekurang-kurangnya kita tahu bekalan minyak akan mencukupi dan negara tidak lagi berdepan risiko kekurangan dalam masa terdekat.

“Pemulihan itu hanya membabitkan aspek bekalan dan bukan harga, memandangkan harga minyak import masih tertakluk kepada pasaran global,” katanya kepada Harian Metro di sini, hari ini.

Beliau berkata, penurunan harga minyak di Malaysia masih belum dapat ditentukan berikutan ia bersandarkan harga minyak dunia.

Justeru katanya, rakyat masih akan merasai tekanan kos walaupun bekalan sudah pulih.

“Pembukaan laluan ini turut memberi kesan kepada sektor logistik yang sebelum ini terjejas akibat kekurangan bekalan minyak, namun cabaran baharu pula timbul apabila kos pengangkutan meningkat.

“Kapal-kapal kini berdepan kos insurans tinggi untuk melalui kawasan konflik, menyebabkan banyak syarikat memilih laluan alternatif seperti Tanjung Harapan yang lebih jauh. Hal ini menyebabkan kos logistik meningkat sehingga empat atau lima kali ganda. Barang mungkin sampai, tetapi harganya akan lebih mahal,” katanya.

Menurutnya, Malaysia tidak akan pulih sepenuhnya dalam jangka masa pendek kerana negara kini memasuki fasa penurunan dalam kitaran ekonomi.

“Kita sudah melalui fasa pertumbuhan dan mencapai kemuncak sekitar 2020 hingga 2025. Bermula 2026, ekonomi dijangka menurun dan kita mungkin berdepan kegawatan sekitar 2029.

“Perkembangan semasa perlu dilihat sebagai peringatan agar negara memperkukuh asas ekonomi dan tidak terlalu bergantung kepada faktor luaran,” katanya.

Penganalisis itu mencadangkan Malaysia mengurangkan kebergantungan kepada dolar Amerika Syarikat (USD) sebagai rizab utama dan meningkatkan pegangan emas bagi mengukuhkan kedudukan kewangan negara.

“Kita perlu memperkukuh ekonomi dalaman termasuk sektor mikro, kecil dan sederhana, dan pada masa sama meningkatkan rizab emas supaya ringgit lebih kukuh serta berdaya saing dalam perdagangan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Ekonomi dan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Pengurusan, Universiti Teknologi MARA, Dr Mohamad Idham Md Razak berkata, pembukaan laluan itu membantu mempercepatkan penyelesaian dari sudut bekalan minyak negara.

Katanya, bagaimanapun, kesan terhadap harga masih belum dapat dipulihkan kerana ia bergantung kepada harga minyak global.

“Dari segi kuantiti mungkin kita sudah hampir selesai, tetapi dari segi harga, ia masih lagi di luar kawalan kerana ditentukan oleh pasaran dunia.

“Walaupun bekalan kembali stabil, pengguna dan perniagaan masih perlu berdepan dengan peningkatan kos yang berpunca daripada harga import dan kos logistik yang lebih tinggi. Maknanya kita ada bekalan, tetapi kos masih meningkat dan ini akan memberi kesan kepada harga barangan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top