GENEVA – “Sebahagian besar populasi di Genting Gaza kini kelaparan dan krisis kebuluran besar-besaran ini sememangnya berpunca daripada perbuatan kejam manusia yang disebabkan sekatan ketat Israel”.
Amaran itu diberikan Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus pada Rabu berikutan situasi yang semakin meruncing kerana sekatan ke atas penghantaran bekalan makanan sejak Mac lalu.
Ketika banyak pihak menuding jari terhadap Israel, ia dengan angkuh menyatakan Tel Aviv kononnya tidak bertanggungjawab atas kekurangan makanan kronik di wilayah itu yang telah meragut lebih 110 nyawa termasuk 80 kanak-kanak.

Muhammad Zakariya Ayyoub al-Matouq, 18 bulan, mengalami penurunan berat badan daripada 9 kilogram(kg) ke 3kg dan kini bergelut untuk terus hidup akibat kekurangan zat makanan.
Israel turut menyalahkan Hamas sengaja mencipta krisis tersebut sedangkan rangkaian media antarabangsa memaparkan dengan jelas kesengsaraan penduduk Palestin terutamanya golongan kanak-kanak yang kurus kering kerana kekurangan zat makanan.
“Israel tiada kaitan dengan krisis kebuluran ini sebaliknya Hamas yang menjadi punca utama.
“Mereka sendiri rompak bantuan yang tiba di sana untuk simpanan sendiri,” kata jurucakap Tel Aviv, David Mencer yang melemparkan tuduhan secara semberono sebagai respons terhadap gesaan dibuat lebih 100 agensi bantuan yang menuntut Israel menarik semula sekatan terhadap penghantaran bekalan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Meskipun Tel Aviv cuba menafikan perbuatan kejam mereka yang secara terang-terangan menjadikan makanan sebagai ‘senjata perang’, komuniti antarabangsa tetap percaya krisis kebuluran itu berpunca daripada kepungan secara total Zionis.

Seela Barbakh, 11 bulan yang tidak mendapat nutrien mencukupi dipangku ibunya di Hospital Nasser Hospital di Khan Yunis.
Menerusi kritikan terbaharu, Perancis sekali lagi mengutuk operasi ketenteraan yang diperluaskan di tengah Gaza sejak awal minggu lalu yang turut mengakibatkan pemindahan paksa ke atas puluhan ribu penduduk Palestin di Deir al-Balah dan menjejaskan operasi badan antarabangsa.
Terperangkap di zon perang
Israel terus berdepan tekanan antarabangsa berhubung malapetaka kemanusiaan di Gaza setelah perang genosid berlarutan selama 21 bulan.
Tel Aviv juga cuba mengaburi mata orang ramai dengan melonggarkan sekatan melalui penubuhan hab bantuan, Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) disokong Amerika Syarikat (AS) pada akhir Mei lalu yang kemudiannya dijadikan ‘perangkap maut’ ke atas penduduk Palestin.
“Kira-kira 2.1 juta penduduk terperangkap di zon perang dan terpaksa berdepan satu lagi ‘senjata pembunuh’ lebih kejam iaitu kelaparan teruk.
“Kita sedang menyaksikan peningkatan kematian akibat malnutrisi terutamanya dalam kalangan kanak-kanak,” ujar Tedros.

Lebih 1,000 pencari bantuan di Gaza menjadi sasaran tembakan Zionis berhampiran pusat agihan GHF.
Beliau turut menzahirkan rasa terkilan berikutan penduduk Gaza yang kelaparan sanggup menggadai nyawa mereka demi mendapatkan bantuan makanan menjadi korban kezaliman Zionis.
“Bukan hanya lebih 1,000 orang terbunuh, ribuan yang lain turut cedera ketika mahu membawa pulang makanan buat keluarga mereka.
“Kami menuntut akses penuh terhadap aliran bantuan dan pelaksanaan gencatan senjata di Gaza dan penyelesaian politik untuk menghentikan krisis kebuluran ini,” tegasnya.
Tedros juga menekankan kadar malnutrisi akut global telah melebihi 10 peratus dan lebih 20 peratus wanita hamil dan ibu masih menyusukan bayi telah disaring mengalami kekurangan zat makanan yang teruk. – AFP