Pemegang rekod dunia digantung ekoran barang terlarang

Pemegang rekod dunia digantung ekoran barang terlarang

London: Pemegang rekod dunia maraton wanita, Ruth Chepngetich dikenakan penggantungan sementara oleh Unit Integriti Atletik (AIU) selepas didapati positif menggunakan bahan terlarang, hydrochlorothiazide (HCTZ).

Menurut kenyataan AIU semalam, bahan diuretik itu dikesan dalam sampel yang diambil daripada atlet Kenya itu pada 14 Mac lalu.

“Chepngetich tidak digantung sementara oleh AIU ketika dimaklumkan, namun pada 19 April, dia memilih untuk menggantung dirinya secara sukarela sementara siasatan dijalankan.

“Dalam tempoh berkenaan, AIU meneruskan siasatan dan hari ini mengeluarkan Notis Pertuduhan serta menggantung Chepngetich secara rasmi,” kata Ketua AIU, Brett Clothier.

AIU menjelaskan HCTZ digunakan secara klinikal untuk merawat pengekalan cecair dan tekanan darah tinggi, namun turut di salah guna bagi menutup kehadiran bahan terlarang lain dalam ujian air kencing.

Menariknya, Chepngetich mencipta sejarah di Maraton Chicago, Oktober lalu apabila mencatat masa dua jam, sembilan minit dan 56 saat, sekali gus menjadi wanita pertama memecah tembok 2 jam 10 minit.

Dalam pada itu, Chepngetich menarik diri daripada Maraton London dengan alasan tidak berada dalam keadaan mental dan fizikal terbaik untuk beraksi, pada April lalu.

Acara maraton terus dilanda kes doping berprofil tinggi, khususnya dalam kalangan atlet Kenya yang terkenal sebagai kuasa besar acara jarak sederhana dan jauh.

Sementara itu, Persekutuan Olahraga Kenya memaklumkan kerajaan negara itu memperuntukkan RM23.5 juta setahun selama lima tahun bagi memerangi isu doping.

Sebelum ini, Sarah Chepchirchir turut dikenakan penggantungan lapan tahun selepas pemenang Maraton Tokyo itu didapati melanggar peraturan anti-doping buat kali kedua, pada Februari lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top