Pemegang rekod dunia maraton terbunuh dalam nahas di Kenya

Pemegang rekod dunia maraton terbunuh dalam nahas di Kenya

LONDON – Kenya kehilangan atlet berbakat luar biasa apabila pemegang rekod dunia maraton lelaki, Kelvin Kiptum meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di negara kelahirannya itu, lapor BBC.

Terbunuh bersama Kiptum adalah jurulatihnya, Gervais Hakizimana dari Rwanda dalam insiden yang berlaku di berhampiran bandar Eldoret.

Tahun lalu, Kiptum muncul sebagai saingan kepada rakan senegaranya, Eliud Kipchoge selepas dia memecah dunia Kipchoge di Chicago Oktober lalu apabila berlari sejauh 26.1 batu dalam masa dua jam dan 35 saat.

Minggu lalu, pasukannya mengumumkan dia akan menyasarkan untuk berlari dalam jarak kurang dua jam di maraton Rotterdam iaitu satu pencapaian yang tidak pernah dicapai dalam pertandingan terbuka.

Pemergian Kiptum turut diratapi bekas Perdana Menteri Kenya, Raila Odinga yang berkata, negara itu telah kehilangan wira sejati dan sedang berkabung.

“Kiptum merupakan seorang individu yang luar biasa dan ikon olahraga Kenya,” katanya.

Memberi penghormatan kepada pemuda itu, Presiden Olahraga Dunia, Sebastian Coe menyifatkan Kiptum sebagai atlet yang meninggalkan warisan luar biasa.

Peningkatan populariti yang mendadak untuk bapa kepada dua anak itu adalah sangat pantas kerana dia hanya berlari maraton penuh pertamanya pada 2022.

Kiptum bertanding dalam pertandingan pertama empat tahun sebelum itu,  berlari dengan kasut yang dipinjam kerana dia tidak mampu membeli sepasang kasutnya sendiri.

Dia merupakan antara pelapis baharu atlet Kenya yang memulakan karier di atas jalan raya, melepaskan diri daripada tradisi lalu atlet bermula di trek sebelum beralih ke jarak yang lebih jauh.

Kiptum pernah memberitahu dia membuat  pilihan luar biasa disebabkan kekurangan dana yang dihadapinya.

“Saya tidak mempunyai wang untuk melakukan perjalanan untuk sesi berlari di trek,” jelasnya. – Agensi