Pemenang 9 emas Olimpik tetap puas raih podium ketiga

Pemenang 9 emas Olimpik tetap puas raih podium ketiga

Singapura: Perenang legenda, Katie Ledecky gagal mempamerkan henjutan penamat yang hebat untuk menamatkan saingan di tempat ketiga dalam acara 400 meter (m) gaya bebas wanita pada hari pembukaan Kejohanan Dunia Renang di Singapura, semalam.

Bintang muda Kanada, Summer McIntosh, muncul juara dengan catatan masa 3:56.26s, diikuti oleh perenang China, Li Bingjie (3:58.21s) yang berjaya memintas Katie (3:58.49s) ketika 10 meter terakhir.

Summer turut menewaskan Katie dalam acara yang sama di Sukan Olimpik Paris 2024, apabila dia meraih pingat perak, manakala Katie sekadar membawa pulang gangsa. Ariarne Titmus dari Australia memenangi pingat emas.

Katie masih memegang rekod Olimpik sebagai perenang wanita dengan jumlah pingat terbanyak iaitu 14 dan pingat emas terbanyak iaitu sembilan.

Terdahulu tahun ini, Summer yang baru berusia 18 tahun mencipta rekod dunia 3:54.18s dalam acara itu.

“Saya rasa saya berada di tahap terbaik saya sekarang. Saya dalam keadaan fizikal terbaik sepanjang hidup saya. Kini saya hanya perlu buktikan di setiap saingan,” kata Summer.

Katie, 28, turut berhempas pulas mengekang cabaran Lani Pallister dari Australia yang menamatkan perlumbaan di tempat keempat dengan masa 3:58.87s.

“Saya sebenarnya mahu catat masa yang lebih baik. “Saya terlalu fokus kepada perenang di sebelah kanan saya,” kata Katie kepada NBC Sports.

“Saya tak sedar Li berada di sebelah kiri saya, tapi tahniah kepadanya kerana berjaya mencelah. Dia memang pesaing yang hebat selama ini.

“Medal ini tetap bermakna. Ia antara perlumbaan paling pantas dalam sejarah. Tempat pertama hingga keempat sangat dekat,” katanya lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top