Pemenang Dua Anugerah Di 20th BOH Cameronian Arts Awards ‘Persiapan Seorang Aktor’ Kembali Dipentaskan di PJPAC Julai Ini

Pemenang Dua Anugerah Di 20th BOH Cameronian Arts Awards ‘Persiapan Seorang Aktor’ Kembali Dipentaskan di PJPAC Julai Ini

Pemenang dua anugerah di 20th BOH Cameronian Arts Awards bagi Kategori Best Original Skrip dan The Best Of 2024 iaitu, ‘Persiapan Seorang Aktor’, kembali dipentaskan pada 17 hingga 20 Julai 2025 depan bertempat di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC).

Diterbitkan oleh Juan Ab Aziz dan diarahkan oleh Syahrul Musa serta skrip nukilan Saat Omar, teater ini akan membariskan pelakon tersohor tanah air seperti Nam Ron, Aloy Paradoks, dan Fazleena Hishamuddin.

Naskhah yang bakal dipentaskan ini bakal menyelami jiwa seorang pelakon yang bergelut mencari kejujuran dan erti sebenar dalam setiap watak yang dibawanya.

Naratif Tentang Obses, Jiwa dan Cinta Terhadap Seni

‘Persiapan Seorang Aktor’ menggambarkan kisah seorang pelakon lelaki yang obses untuk mencapai kesempurnaan bukan sahaja sebagai pelakon terbaik di Malaysia, tetapi juga setanding legenda pentas dunia.

Pementasan ini membawa penonton menyusuri pergolakan mental, emosi dan spiritual dalam dunia seni, penuh dengan tekanan, pengorbanan dan kasih terhadap panggilan jiwa seni pentas.

Teater ini telah meraih pengiktirafan Best Original Script & The Best of 2024 dalam 20th BOH Cameronian Arts Awards, dan kini kembali dalam versi yang lebih matang dan segar, dengan harapan untuk terus menyentuh hati penonton serta memberi impak jangka panjang kepada pencinta teater tanah air.

Kerjasama UiTM dan Inisiatif Mencungkil Bakat Baharu

Dalam usaha mengangkat mutu pementasan, produksi ini turut mendapat sentuhan kreatif menerusi kerjasama strategik bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM), khususnya Fakulti Filem, Teater dan Animasi (FiTA).

Kolaborasi ini melibatkan aspek produksi, pembangunan konsep serta penglibatan pelapis baharu dalam industri kreatif tempatan.

Sebagai pelengkap pementasan, satu program tambahan iaitu ‘Casting Call’ akan dijalankan secara eksklusif sepanjang tempoh persembahan.

Inisiatif ini adalah kerjasama antara Mask Team dan syarikat produksi tempatan yang bertujuan mencungkil bakat baharu dan membuka peluang kepada individu berbakat untuk menempatkan diri dalam dunia seni lakon secara profesional.

Tiket dan Maklumat Tambahan

 

Tiket pementasan kini boleh didapati di laman rasmi www.onetix.com.my pada harga RM58, RM78 dan RM98.

Orang ramai disaran mendapatkan tiket awal bagi mengelakkan kekecewaan.

Untuk perkembangan terkini, ikuti laman media sosial rasmi Mask Team.

Scroll to Top