am@hmetro.com.my
SELEPAS kejayaan pementasan pertama pada Disember tahun lalu di Melaka, teater Muzikal Sulalat’Us Salatin akan dipentaskan semula di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur pada 31 Oktober hingga 2 November ini.
Teater arahan Zaifri Husin ini menampilkan barisan pelakon terkenal seperti Nabila Huda, Adam Lee, Zaidi Omar, Mubarak Majid, Zera Hariz, Rosli Rahman Ada, Raja Azrey, Alina Hassan, Ijat Ashari, Serra Kamal, Sahronizam Noor, A. Aris Kadir, Fahezul Azri, Aqil Wafi, Rasdi Daud, Pavy Raj dan ramai lagi.
Menurut penerbitnya, Siti Rohayah Atan, ia dipentaskan semula sebagai antara program pengisian budaya yang dipilih dalam kalendar Kepengerusian ASEAN 2025 di mana Malaysia menjadi tuan rumah.
“Teater ini juga dipentaskan semula berdasarkan permintaan penonton yang tidak berkesempatan menyaksikannya pada pementasan pertama sebelum ini.
“Saya percaya langkah yang diambil ini akan memberi peluang lebih luas kepada penonton terutamanya generasi muda untuk sama-sama menyaksikan pementasan tentang cerita bangsa Melayu ini.
“Cara ini antara kaedah yang dianggap sesuai dalam usaha kita untuk memperkenal karya sastera agung kepada generasi muda supaya mereka lebih mengenali tentang sejarah bangsa,” katanya.
Mengenai teater itu lagi, kata Siti Rohayah, ia akan menampilkan 11 lagu untuk menghidupkan lagi pementasan berkenaan.
“Antaranya lagu Raja Yang Bermula, Chulan ke Lautan, Bunga Singapura, Ewah Ewah Hiburkan Hati, Pintu Taat Sudah Tiada, Melaka Bumi Melayu, Melepaskan Kasih, Hubungan Diraja, Tujuh Syarat Ledang, Tetap Ada dan Bangkit Dari Luka.
“Pementasan dianjurkan dengan kerjasama DBP, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Melaka serta dijangka ditonton 3,000 orang,” katanya.
Teater berbentuk purbawara muzikal ini berkisarkan kemaharajaan maritim yang juga disebut sebagai pertuturan segala Raja-Raja atau Sejarah Melayu.
Ia juga menyentuh asal-usul kemaharajaan maritim yang bermula dari transisi masa Raja Iskandar Zulkarnain dan Puteri Syah Al-Bariyah, Raja Suran yang mengembara ke alam lautan, Kisah Kuda Semberani, Wan Empuk dan Wan Malini berpadikan huma yang berbuah emas, Waadat Demang Lebar Daun dan Seri Teri Buana.
Begitu juga kisah Tun Jana Khatib di Temasek, kebijaksanaan Hang Nadim sehingga Singapura dilanggar todak, kisah merajuknya Sang Rajuna Tapa, Melaka Zaman Gemilang hinggalah runtuhnya Empayar Melaka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




