
NEW YORK: Mahkamah pada Khamis memaklumkan perbicaraan penyanyi rap Amerika, Sean John Combs atau lebih dikenali sebagai ‘P Diddy’ berkenaan isu penderaan dan pemerdagangan seks akan diadakan pada 5 Mei 2025.
Hakim Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat, Arun Subramanian berkata, Diddy akan kekal dipenjarakan selepas dia didakwa bulan lalu atas tiga pertuduhan jenayah kerana mendera wanita secara seksual dan memaksa mereka ke pesta seks yang didorong oleh dadah menggunakan ancaman dan keganasan.
Rapper jutawan itu telah dinafikan hak ikat jaminnya sebanyak dua kali kerana pendakwa raya telah menyuarakan kebimbangan mengenai gangguan yang dikemukakan oleh saksi, di mana dia mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan tersebut, lapor Arab News.
Ketika memasuki ruang mahkamah, Diddy dilaporkan memakai baju dan seluar berkedut berwarna cerah, menyambut ibu dan anak-anaknya yang menghadiri perbicaraan itu.
Pendakwa Raya, Emily Johnson berkata, masih terdapat lebih banyak bukti untuk dikemukakan, dengan menyatakan bahawa sebanyak 96 peranti elektronik telah dirampas pada Mac dengan berkemungkinan lebih banyak pertuduhan.
Tuduhan terhadap pemenang Grammy itu semakin meningkat sejak tahun lalu, apabila penyanyi Cassie, atau nama sebenarnya Casandra Ventura mendakwa Diddy menyebabkan dia dikenakan paksaan lebih sedekad dengan kekerasan fizikal dan dadah, serta perkosaan pada 2018.
Sejak itu, banyak tindakan undang-undang sivil serupa telah diambil, sekaligus menggambarkan Diddy sebagai seorang lelaki ganas yang menggunakan status selebritinya untuk menjadikan wanita dan lelaki lain sebagai mangsanya.
Ramai peguam yang mendakwa lebih 100 individu mendakwa penyanyi rap itu telah menyerang atau mengeksploitasi mereka, dengan sebahagian daripada mereka merupakan kanak-kanak merancang lebih banyak tindakan undang-undang terhadap Diddy.
Dakwaan terhadapnya itu telah menyerlahkan lagi budaya dalam industri muzik yang dipersoalkan orang ramai yang mengatakan ia telah membenarkan corak salah laku seksual yang lebih meluas. – HARAKAHDAILY 11/10/2024








