'Pemergian Andre jawap segala persoalan dalam hati saya' – Amyza Aznan

'Pemergian Andre jawap segala persoalan dalam hati saya' – Amyza Aznan

syafil.syazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon, Amyza Aznan menzahirkan rasa syukur dan terharu apabila pemergian anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail pada 23 Februari lalu terus dihujani dengan pelbagai kebaikan daripada individu yang tidak dikenali.

Amyza, 50, berkongsi bahawa beliau dimaklumkan mengenai seorang hamba Allah yang bermurah hati melakukan badal umrah buat arwah anaknya ketika individu itu berada di Tanah Suci.

“Mengenai individu itu, sebenarnya saya sendiri pun tidak mengenalinya. Selepas dua hari beliau berada di sana, Mami Didie (Didie Alias) memaklumkan ada hamba Allah ingin melakukan badal umrah buat Andre dan meminta izin serta nama penuh arwah.

“Saya katakan, sesiapa sahaja yang ingin melakukan badal umrah atau apa sahaja atas nama arwah, teruskan sahaja. Tidak perlu minta izin pun kerana tiada salahnya. Alhamdulillah, beliau sudah pun menyelesaikan badal umrah itu buat Andre,” katanya kepada Harian Metro.

Selain badal umrah, Amyza berkata terdapat banyak pihak lain yang turut melakukan wakaf dan pelbagai amal jariah atas nama Andre.

Mengulas mengenai keperibadian arwah, Amyza menyifatkan Andre sebagai anak yang sangat taat dan soleh sehingga kebaikan yang ditinggalkannya turut memberi kesan kepada orang sekeliling.

“Dia berbakti sejak masih bernyawa hinggalah sudah tiada. Bukan kepada saya sahaja, tetapi dia juga membuka jalan rezeki buat rakan-rakan saya dan orang lain yang kami sendiri tidak kenal. Saya sangat tersentuh apabila ada yang bertanya apa amalan rahsia Andre dengan Allah,” katanya.

Tambah Amyza, segala persoalan dan kerisauan yang terbuku di hatinya mengenai masa depan arwah sebelum ini akhirnya terjawab melalui pemergian anaknya itu.

“Pemergian Andre adalah jawapan kepada segala persoalan dalam hati saya selama ini. Beliau anak yang tidak pernah meminta-minta. Paling kuat pun beliau hanya meminta mahu pulang ke rumah neneknya sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Amyza memaklumkan pihaknya kini sedang merancang untuk melaksanakan badal haji buat Allahyarham Andre yang dijangka dilakukan pada tahun ini juga.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top