Pemergian arwah Siti Sarah disiarkan BBC News

farihad@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Berita pemergian penyanyi popular, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin akibat pandemik COVID-19 turut mendapat liputan portal berita antarabangsa, BBC News, semalam.

Laporan bertajuk ‘Malaysian singer dies of Covid days after giving birth’ (penyanyi Malaysia meninggal dunia akibat COVID-19 selepas melahirkan anak) ternyata meruntun hati pembaca.

Berita pemergian penyanyi lagu Kesetiaan dan Semakin itu akibat tewas dengan COVID-19 bukan sahaja menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia, malah ramai pelayar laman portal antarabangsa itu turut menitipkan ucapan takziah dan bersimpati menerusi Facebook (FB) rasmi portal itu.

Meninjau ruangan komen dalam FB, rata-rata meluahkan rasa simpati terhadap penderitaan arwah Siti Sarah yang berjuang dan bertarung nyawa disebabkan COVID-19.

“Berita ini amat menyedihkan. Pengalaman melahirkan anak secara pembedahan empat bulan lalu membuatkan saya menangis kerana terlalu bimbang bayi tidak dapat diselamatkan. Saya sangat memahami apa yang dilalui pasangannya ini. Lebih memilukan apabila dia akhirnya tewas,” tulis seorang pelayar portal itu.

Komen lain yang ditinggalkan adalah doa dititipkan ke atas roh penyanyi berusia 36 tahun itu.

“Semoga Allah mengampunkan dosanya, diangkat darjatnya dan ditempatkan di syurga.

“Moga dilapangkan kuburnya, terang bercahaya dan menjadi taman syurga.

“Semoga Allah merahmati ahli keluarganya, mengurniakan kesabaran dan keimanan melalui saat cukup getir ini,” katanya.

Keperibadian mulia yang dimiliki arwah Siti Sarah seperti yang ditulis dalam artikel turut menyentuh hati seorang pembaca FB.

“Dia seorang insan yang baik, selalu membantu orang tanpa mengharapkan publisiti. Malah, dia juga seorang ibu dan isteri penyayang,” tulis seorang pembaca.

Sejak diterbitkan lapan jam lalu, artikel berkenaan mendapat belasan ribu tanda duka dan lebih 2,000 ribu tanda suka.

Laporan BBC News itu turut menyebut Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah atas pemergian penyanyi kesayangan ramai itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd