'Pemergian Kak Nim tamparan hebat buat mak, keluarga' – Adik pramugari

'Pemergian Kak Nim tamparan hebat buat mak, keluarga' – Adik pramugari

mahaizura@mediaprima.com

Kuala Lumpur: “Doakan Kak Nim sihat dan murah rezeki supaya dapat tanggung keluarga dan bayar kos perubatan mak,” itu permintaan sering diungkapkan Allahyarham Norzana Hanim Hamzah, 49, kepada adik bongsunya, Norzarita Hanum.

Pramugari Malaysia Airlines (MAS) yang mesra disapa Kak Nim itu dilaporkan meninggal dunia di sebuah hotel di Narita, Chiba, Jepun pagi semalam beberapa jam sebelum penerbangan pulang ke tanah air.

Norzarita Hanum, 46, berkata, pemergian anak kedua daripada tiga beradik itu satu kehilangan besar buat keluarganya berikutan wanita itu tulang belakang mereka selama ini.

“Walaupun Kak Nim anak kedua, dia sudah menggalas jadi ketua keluarga sejak sekian lama kerana abang sulung kami ada masalah kesihatan sebelum meninggal dunia pada 2016 manakala ayah menyusul tiga tahun kemudian.

“Kak Nim, kakak yang baik dan sentiasa positif, tidak lokek beri duit kepada kami dan setiap kali balik dari mana-mana destinasi, dia akan belikan baju dan hadiah.

“Semua perbelanjaan keluarga kami termasuk kos perubatan mak dia yang tanggung, malah dia juga membiayai kos saya belajar sampai sarjana muda,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, dia bersyukur hajat kakaknya untuk meluangkan masa bersama keluarga terutama menjaga ibu mereka yang mengalami masalah jantung dan kencing manis juga terlaksana sebelum pemergiannya.

“Alhamdulillah, sejak kebelakangan ini, Kak Nim banyak meluangkan masa bersama kami dan menjaga mak yang keluar masuk hospital sejak 13 April lalu.

“Kadang-kadang, kalau dia tidak bertugas dia akan singgah dan tidur di rumah mak.

“Cuma ada juga dia cakap risaukan keadaan kesihatan mak terutama jika dia jauh daripada kami,” katanya.

Norzarita Hanum berkata, berita duka pemergian wanita itu diterima mereka sekeluarga daripada suami kakaknya, Rudy Tarmizi, 42, selepas dimaklumkan pihak MAS.

“Saya dan mak baru saja jumpa Kak Nim di rumah mak di Cheras, sehari sebelum dia berangkat ke Jepun dia sempat belikan keperluan mak termasuk lampin pakai buang.

“Jadi, apabila terima berita kematiannya daripada abang ipar semalam, kami agak ralat apatah lagi dia tak pernah ada penyakit.

“Ia juga tamparan hebat buat mak kerana dia sakit tapi Kak Nim yang pergi dulu, malah mereka juga memang rapat kerana berkongsi hobi sama, suka bersolek dan berdandan.

“Saya pula tak sangka kali ini menguruskan pengebumian Kak Nim pula selepas abang dan ayah beberapa tahun lalu, namun kami reda,” katanya.

Terdahulu, MAS dalam satu kenyataan mengesahkan, Norzana Hanim sedang bertugas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Narita sebelum dijadualkan mengendalikan penerbangan pulang ke Kuala Lumpur.

“Punca kematian belum dapat disahkan, tetapi laporan yang belum disahkan daripada komuniti kru MH berkemungkinan dia jatuh ketika bersiap untuk penerbangan pulang,” katanya dipetik.

© New Straits Times Press (M) Bhd