Pemeriksaan kesihatan di sekolah bongkar murid jadi mangsa rogol bapa kandung

am@hmetro.com.my

Muar: Seorang buruh ladang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan merogol anak kandungnya sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh berusia 49 tahun mengaku tidak bersalah sebaik kedua-dua pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Mengikut kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak kandungnya berusia 13 tahun di sebuah rumah di Tangkak, dekat sini antara jam 8 hingga 9 pagi dan 9 hingga 10 malam, pada tahun 2024 dan Januari lalu.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh dalam rayuan memohon mahkamah membenarkan ikat jamin namun pihak pendakwaan membantah dengan alasan lelaki sentiasa berhubung dengan mangsa.

Selain itu, pihak pendakwaan juga berhujah, sekiranya jaminan ditawarkan tertuduh berisiko melarikan diri selain mengambil kira faktor keselamatan mangsa.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menolak rayuan tertuduh dengan kes disebut semula pada 18 September ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Menurut laporan polis, mangsa mendakwa dirogol bapa kandungnya sejak dua tahun lalu iaitu ketika berusia 11 tahun.

Mangsa hanya mendedahkan perbuatan itu semasa menjalani pemeriksaan kesihatan di sekolah baru-baru ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top